JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung lawatannya ke Batam, Indonesia kelmarin.
Langkah itu diambil setelah beliau mendapat kritikan hebat warganet ekoran krisis pencemaran toksik di Pasir Gudang yang kini sedang berlaku tetapi beliau pergi ke luar negara.
Menurut Osman, lawatan kerjanya ke Batam penting dan sudah dirancang lebih awal.
“Lawatan kerja ini asalnya selama tiga hari namun kami memendekkan lawatan tersebut hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.
“Saya telah membatalkan beberapa sesi pertemuan lain ketika sesi lawatan kerja namun beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan.
“Ini adalah penting sebagai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, warganet mempertikaikan kewajaran Osman dan rombongannya ke Batam didakwa tidak sesuai kerana Pasir Gudang sedang mengalami masalah pencemaran toksik yang masih berlarutan.
Malah, bilangan mangsa yang terlibat juga terus bertambah sehingga ke hari ini.
Semalam, Osman ketika ditemui media di pusat rawatan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) mengelak daripada menjawab perkara itu.
Katanya, perkara itu bukanlah cerita yang perlu dihebahkan, sebaliknya isu pencemaran toksik di Pasir Gudang itu merupakan perkara yang lebih serius.
Dalam pada itu, Osman berterima kasih kepada Wali Kota Batam, Muhammad Rudi kerana memahami punca beberapa sesi lawatan dan mesyuarat yang terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana yang berlaku di Pasir Gudang itu.
“Mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini. Sepanjang kurang 24 jam saya di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengan saya setiap dua jam untuk memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana berjalan lancar dan teratur,” ujarnya.
Justeru beliau berharap agar penjelasan itu dapat merungkai salah faham atau kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Osman turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana toksik tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: