Home Ekonomi OPEC lanjutkan pengurangan pengeluaran minyak

OPEC lanjutkan pengurangan pengeluaran minyak

OPEC

BAKU – Arab Saudi berkata, usaha untuk menyeimbangkan pasaran minyak masih lagi jauh kerana inventori minyak global masih meningkat meskipun sekatan dikenakan ke atas Iran dan Venezuela.

Pengeluar terbesar minyak dunia itu memberi isyarat bahawa OPEC perlu melanjutkan pengurangan bekalan kepada separuh kedua tahun ini.

Malah, Rusia juga berkata, pengurangan bekalan dijangka dikekalkan sehingga Jun selepas Washington mengenakan langkah seterusnya untuk mengurangkan eksport Iran dan Venezuela.

Amerika Syarikat telah menambah eksportnya dengan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini ketika menguatkuasa sekatan ke atas penghantaran minyak Iran dan Venezuela.

Polisi-polisi Washington telah menyebabkan ketidaktentuan kepada OPEC untuk meramalkan keseimbangan bekalan dan permintaan ke atas minyak global.

“Penilaian saya terhadap usaha ini masih jauh…Kita masih melihat peningkatan inventori…Kita perlu kekal sehingga Jun.

“Kami perlu kekal bersedia untuk memantau bekalan dan permintaan dan lakukan apa yang perlu dilakukan pada separuh kedua,” kata Menteri Tenaga, Khalid al Falih.

OPEC dan sekutu-sekutunya telah mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta sehari atau 1.2 peratus daripada permintaan global sejak Januari lalu bagi menyeimbangkan semula pasaran minyak dan melonjakkan harga.

Kartel minyak itu bakal bertemu lagi pada April ini dan Jun untuk memutuskan polisi-polisi pengeluaran.

Amerika Syarikat telah melaksanakan sekatan ketat ke atas Iran – pengeluar ketiga terbesar minyak dunia tetapi memberi pengecualian kepada pembeli minyak mentah Tehran sehingga Mei ini.

Tindakan serupa juga dilaksanakan ke atas minyak Venezuela, dalam usaha memberi tekanan terhadap Presiden Nicolas Maduro. – MalaysiaGazette