JAKARTA – Seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian gempa di Lombok semalam dikenali sebagai Lim Sai Wah.
Bagaimanapun identiti lengkap wanita itu masih belum diperoleh setakat 6 pagi ini.
Menurut Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shaharan, tujuh warganegara Malaysia turut cedera, dan kini dirawat di hospital di Lombok.
“Dua orang warganegara Malaysia meninggal dunia akibat gempa bumi di Lombok Timur semalam. Tujuh orang yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital manakala 13 orang terselamat,” katanya.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim disahkan terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter, semalam.
Kesemua mereka adalah sekumpulan 22 warganegara Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara, ketika bencana tersebut berlaku pada 3.07 petang waktu tempatan.
Pegawai Kedutaan tiba di Lombok pagi ini untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.
“Warganegara Malaysia lain yang berada di Lombok atau kawasan sekitar yang terkesan susulan gempa bumi ini boleh menghubungi pegawai bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036,” katanya.
Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa tenang dan mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Warganegara Malaysia yang berada di Indonesia atau ingin merancang perjalanan ke Indonesia juga dinasihatkan untuk mendaftar dengan kedutaan di https://goo.gl/ixYVfy .
Sementara itu Gabernor Nusa Tenggara Barat, H. Zulkieflimansyah dipetik agensi berita Antara, berkata pihak berkuasa tempatan sedang menguruskan kedua-dua rakyat Malaysia yang terkorban itu untuk dibawa pulang ke Malaysia hari ini.
— BERNAMA