Home Nasional Impian Ridzwan ke UIAM tercapai

Impian Ridzwan ke UIAM tercapai

Muhammad Ridzwan Roslan(Tengah) bersama pegawai dari Pusat Asasi UIAM hadir dalam sesi pertemuan selepas beliau menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajiannya di UIAM.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersedia dan berbesar hati menerima Muhammad Ridzwan Roslan, 18, sebagai penuntut di universiti itu.

Ridzwan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, diumumkan sebagai pelajar terbaik di sekolah berkenaan selepas mendapat 4A+, 4A,1A- dan 1B+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Beliau akan ditawarkan pengajian di peringkat Asasi sebelum menyambung pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan seperti yang diimpikannya.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, UIAM mengalu-alukan kehadiran Ridzwan sebagai pelajarnya pada Jun nanti.

Menurutnya, Ridzwan juga akan ditawarkan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajiannya di UIAM.

Ridzwan yang kudung tangan telah melahirkan impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di UIAM selepas menerima keputusan SPM pada Khamis lalu.

“UIAM sangat berbesar hati dan bersedia menerima Muhammad Ridzwan untuk melanjutkan pengajian beliau dalam bidang kejuruteraan seperti yang beliau hasratkan,” katanya sambil berkata, universiti itu mengamalkan polisi inklusif Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, UIAM melihat minat pelajar yang terdiri daripada golongan OKU untuk menyambung pengajian di sini sebagai pilihan tepat memandangkan universiti ini mengamalkan dasar inklusif OKU dan ini bermakna UIAM adalah universiti yang mesra OKU.

Dzulkifli berkata, UIAM berusaha menambah baik segala kemudahan untuk pelajar berkeperluan khas untuk semua kategori yang kini semakin meningkat bilangannya kepada 84 orang pelajar dan kemudahan ini bukan sahaja untuk pelajar, malah kakitangan UIAM dan warga kampus keseluruhannya.

Sementara itu, beberapa pegawai dari Pusat Asasi UIAM telah pun berjumpa dengan Ridzwan serta keluarga beliau di kediamannya semalam untuk memberikan penerangan berkaitan jurusan kejuruteraan dan mengambil maklumat beliau untuk urusan penawaran dan kemasukan ke UIAM. – MalaysiaGazette