Home Ekonomi Malaysia sedia timbang terbitkan bon samurai baharu

Malaysia sedia timbang terbitkan bon samurai baharu

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bercakap pada sidang media meraikan kejayaan Malaysia menerbitkan Bon Samurai oleh kerajaan Malaysia di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2019

PUTRAJAYA – Malaysia sedia mempertimbangkan untuk menerbitkan satu lagi bon samurai sekiranya diberikan kadar sama seperti yang telah diberikan dalam penerbitan bon bernilai 200 bilion yen (RM7.3 bilion) Jumaat lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, minat mendalam pelabur Jepun membolehkan bon samurai diberikan harga yang kompetitif dengan kos tahunan yang ditanggung Malaysia hanya 0.63 peratus, lebih rendah berbanding jangkaan awal iaitu 0.65 peratus.

Ia adalah hasil daripada keyakinan pelabur-pelabur Jepun terhadap ekonomi Malaysia dan transformasi fiskal kerajaan, tambahnya.

“Sekiranya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bersedia untuk memberikan kadar yang rendah, kami sedia memberi pertimbangan serius,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan kejayaan penerbitan bon samurai oleh kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa berkata, Jepun bersedia untuk memberikan bantuan sekiranya Malaysia berminat untuk menerbitkan satu lagi bon samurai pada masa depan.

“Jepun sentiasa bersedia untuk membantu Malaysia menerbitkan satu lagi bon dengan terma yang sama,” katanya.

Tambah Miyagawa, penerbitan bon tersebut diharapkan dapat membantu Malaysia mengurangkan bebanan hutang dan dalam masa yang sama mengembangkan ekonomi negara.

Kerajaan sebelum ini memberitahu, hasil terbitan bon berkenaan akan digunakan untuk membayar hutang negara.- MalaysiaGazette