PASIR GUDANG – Bacaan kualiti udara di 42 buah sekolah sekitar kawasan terjejas pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini kini berada pada paras normal kecuali di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, pemantauan yang dilakukan mendapati, bacaan kualiti udara menunjukkan nilai Volatile Organic Compound (VOC) pada paras sifar kecuali di sekolah terbabit.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 42 buah sekolah dipantau oleh 30 pasukan pemantau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), masing-masing pada pukul 12 tengah hari, 3 dan 6 petang semalam.
“Hampir semua sekolah menunjukkan nilai VOC kosong kecuali SK Taman Rinting 3 yang menunjukkan bacaan VOC pada kadar lima dan tiga pada pukul 3 petang.
“Nilai bacaan tersebut dicatat masing-masing di aras bawah dan aras satu sekolah terlibat,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, tiada sebarang bacaan Hidrogen Disulfida dicatat di semua sekolah terlibat setakat ini.
Jelas kenyataan itu, pemantauan sama turut dilakukan hari ini namun, JAS memerlukan kira-kira 24 jam untuk menganalisis data diperoleh. – MalaysiaGazette