Home Utama EKSKLUSIF: Cabaran urus mayat tidak dituntut

EKSKLUSIF: Cabaran urus mayat tidak dituntut

Petugas dari Persatuan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menjalankan proses memandikan mayat yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Penerimaan mayat yang tidak diketahui identitinya (‘Unknown’) daripada dalam hospital atau dibawa oleh polis akan didaftarkan di dalam Buku Daftar Kematian.

Oleh sebab itu, sekiranya mayat tidak dituntut selepas tiga hari dari tempoh masa penerimaan mayat, ia diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut.

Pengendalian mayat tidak dituntut adalah penting bagi mengoptimumkan pengurusan kos yang ditanggung oleh hospital dan disebabkan tempat simpanan mayat yang terhad.

Selalunya pihak hospital akan memohon bantuan polis dalam mengenalpasti identiti dan pengesanan waris. Usaha mencari waris bagi mayat yang tidak dituntut adakalanya termasuklah diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama.

Sekiranya tiada waris yang datang menuntut dalam tempoh masa tertentu, salinan Permit Mengubur dibuat dan kelulusan untuk pengurusan terakhir mayat tersebut akan didapatkan daripada pegawai penyiasat polis atau pihak mahkamah.

Laporan keadaan mayat yang tidak dituntut lebih dari empat belas (14) hari juga akan diberikan kepada Pengarah Hospital. Bagi mayat yang beragama Islam atau dipercayai beragama Islam, jenazah bersama dengan Permit Mengubur diserahkan kepada jabatan agama Islam bagi tujuan pengebumian.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_03
Petugas dari Persatuan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menjalankan proses memandikan mayat yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

Untuk yang bukan Islam pula, mayat tersebut akan diserahkan kepada persatuan agama yang dipercayai dianuti si mati semasa hidupnya bersama dengan Permit Mengubur bagi tujuan pengurusan terakhir mayat tersebut.

Untuk rekod, semalam saja, ada empat jenazah tidak dituntut di salah sebuah hospital di Lembah Kelang yang ‘dikeluarkan’ untuk dikebumikan. Keempat-empat mayat warga asing itu telah berbulan ‘menghuni’ di bilik forensik hospital berkenaan kerana waris dan ahli keluarga mereka gagal dikesan.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_12
Petugas dari Persatuan Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menyempurnakan proses mangkafani jenazah yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

Jenazah terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan. Kesemuanya meninggal dunia kerana komplikasi pelbagai penyakit kecuali seorang yang terbunuh akibat nahas jalan raya.

Untuk tujuan tersebut, Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) sekali lagi dipanggil bagi menguruskan keempat-empat jenazah tersebut. Sebaik saja dimaklumkan oleh pihak jabatan agama Islam untuk menguruskan kes-kes mayat tidak dituntut ini , mereka segera mengumpulkan ahli-ahli mereka untuk melaksanakan misi yang cukup penting itu.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_01
Petugas dari Persatuan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) mempersiapkan kain kafan bagi pengurusan mayat yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

Menurut pengerusinya, Mohd. Rafieudin Zainal Rasid, mereka tidak pernah menolak untuk menguruskan mayat-mayat sebegini walaupun ia mempunyai ‘cabaran’ yang tersendiri.

” Bagi kami di SPJM, amanah yang diberikan perlu segera dijalankan kerana jenazah-jenazah yang tiada waris atau tidak dituntut itu telah lama berada di dalam peti sejuk di bilik mayat hospital.

” Selalunya berbulan jenazah berada di situ, adakalanya lebih pada enam bulan kerana usaha-usaha untuk mengesan waris giat dijalankan pihak bertanggungjawab.

” Justeru bila semua usaha untuk mengesan waris menemui jalan buntu, bila saja diminta, kita akan membantu pihak hospital untuk memandi, mengkafankan sehingga ke peringkat mengebumikan jenazah-jenazah ini sesempurna mungkin seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak,” katanya eksklusif kepada Malaysia Gazette.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_06
Petugas dari Persatuan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menjalankan proses memandikan mayat yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

Mengulas lanjut mengenai ‘cabaran’ untuk menguruskan mayat-mayat yang tidak dituntut ini, Mohd. Rafieudin berkata, ia tidak banyak beza berbanding menguruskan jenazah biasa yang lain.

Pun begitu, katanya, mereka perlu lebih berwaspada kerana mayat yang terlalu lama berada di peti mayat hospital ini selalunya akan ‘mengecut’ fizikalnya.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_13
Petugas dari Persatuan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menjalankan proses memandikan mayat yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

” Berdasarkan pengalaman kami menguruskan jenazah-jenazah sebegini, mayat yang tersimpan lama di bilik mayat ini walaupun ia tidak mereput, tetapi ia akan mengecut.

” Namun kaedah memandi dan mengkafankan mayat sebegini sama saja, tak ada beza, cuma kami kena lebih berhati-hati kerana kulitnya akan mudah tertanggal, anggota badannya mudah tercabut dan sebagainya,” ujar Mohd. Rafieudin.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_19
Petugas dari Persatuan Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menyempurnakan proses mangkafani jenazah yang tidak dituntut waris ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

Ketika diminta mengulas mengenai tempoh masa yang diambil untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut ini, jelasnya, ia mengambil masa yang lebih singkat berbanding menguruskan mayat biasa.

Katanya, kalau jenazah normal, pihak SPJM mengambil masa sekitar setengah jam untuk memandi dan mengkafankan mayat. Namun ujarnya, dalam kes mayat yang telah lama tidak dituntut ini, mereka mungkin hanya mengambil masa sekitar 20 minit saja untuk satu-satu mayat.

MGF18032019_Mayat Tidak Dituntut_21
Jenazah tidak dituntut waris yang sudah siap dikafankan oleh petugas Persatuan Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MAC 2019

” Tidak seperti yang disangka orang di luar sana, sebenarnya memandikan mayat ‘lama’ ini lebih mudah kerana ia tidak melibatkan banyak prosedur biasa seperti yang selalu kita buat. Sebagai contoh, kita tidak perlu sampai meratakan air di celah-celah pelipat kerana tubuhnya sudah keras, cukup sekadar di tempat di mana air boleh sampai sahaja.

” Sebab itu dalam 20 minit InsyaAllah dah boleh selesai,” ujarnya.

54388567_2541050722590833_5960939677954342912_n

Katanya, habis saja proses memandi dan mengkafankan keempat-empat mayat tadi, kesemua jenazah kemudiannya dibawa ke sebuah masjid berhampiran untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor.

Ujar Mohd. Rafieudin, mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada SPJM boleh berbuat demikian melalui akaun PERTUBUHAN SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (PPM-026-14-24012018) melalui CIMB (8603-48-9285) dan BSN (1410-0410-0030-6186) atau menghubunginya di talian 013-322 7937.