KUALA LUMPUR – “Jika benar ditutup Alhamdulillah. Mohon agar jangan pula nanti dibuka kembali atas cerita yang lain pula,” demikian luahan Mufti Perlis Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berasa hairan bagaimana sebuah pusat tahfiz bukan sahaja beroperasi secara haram malah mengeksploitasi pelajar untuk mengutip derma boleh dibiarkan sekian lama.
“Kesian anak-anak yang masih remaja disuruh membuat jualan di sana sini atas nama tahfiz. Padahal mereka patut berada di sekolah.
“Apabila berjumpa mereka berat untuk melihat anak-anak sekolah menagih simpati ke sana ke mari membawa barang jualan atas nama agama.
“Sering kita tertanya, mengapa kerajaan membiarkan hal ini sejak begitu lama. Entah berapa ratus atau mungkin ribuan aduan telah dibuat oleh orang ramai,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kedah hari ini yang mengarahkan sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup serta-merta selepas ia beroperasi secara haram termasuk dipercayai mengeksploitasi pelajar untuk mengutip derma.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan siasatan mendapati pusat pengajian itu tidak berdaftar mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.
Selain itu, katanya, ia turut dipercayai beroperasi sebagai pusat rawatan amal serta menggunakan taktik licik menipu pihak berkuasa dan orang ramai untuk mengaut keuntungan.
Semalam, tular dalam aplikasi WhatsApp satu video berdurasi 3 minit 37 saat, antara lain memaparkan tulisan ‘211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan’.
Video tular turut merakamkan keadaan kanak-kanak perempuan menangis apabila mereka kena berpindah keluar. – MalaysiaGazette