KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh usul tergempar Parlimen Malaysia yang mengutuk serangan berdarah umat Islam di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tragedi yang menimpa umat Islam di dua buah masjid dan mengakibatkan kematian 50 orang umat Islam di New Zealand adalah suatu tindakan ganas yang boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan yang bukan sahaja wajib dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
“Atas asas prinsip kebebasan dan hak asasi manusia, tembakan rambang ke atas umat Islam yang bersiap sedia untuk mengerjakan sembahyang Jumaat itu adalah suatu tindakan yang lahir dari sikap terburuk terhadap kebebasan agama yang
dijamin oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan juga kerajaan New Zealand.
“Segala jenis tindakan radikalisme tentu sangat bertentangan dengan nilai-nilai universal yang diakui oleh semua agama di dunia. Juga sangat bertentangan dengan konsep hak asasi manusia yang diakui oleh semua negara di dunia.
Menurut Nik Omar, setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan dan mempraktikkan kepercayaan beragama masing-masing dan tindakan untuk menceroboh privasi itu
menggambarkan betapa terkaitnya sikap dan perilaku sesetengah pihak dengan provokasi Islamophobia.
“Islam sentiasa mengajar umatnya membentuk peribadi mulia, dan hal ini diakui banyak pihak sehingga menjadi agama yang paling pesat berkembang di dunia.
“Bagi Islam, nyawa dan kehidupan adalah nikmat dan anugerah yang wajib dihormati dan dipertahankan bukan sahaja secara individu, komuniti mahu pun secara kolektif oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk menjunjung prinsip tersebut, kata Nik Omar, setiap individu mestilah dididik dengan rasa hormat, toleransi, tolong menolong, menjunjung prinsip keadilan dan tidak melihat
perbezaan kepercayaan sebagai musuh dan daya yang mencetuskan konflik.Tidak ada rasa benci atas perbezaan agama, budaya dan etnik,” ujarnya lagi.
Menurut Nik Omar, syariat Islam pada dasarnya melindungi dan menghargai manusia sebagai individu yang bermartabat.
Semua tindakan yang melawan kebebasan dan martabat
manusia, katanya, bertentangan dengan syariat Islam dan kekerasan akan memunculkan kekerasan yang baru serta menumbuhsuburkan tradisi dendam kesumat.
Islam datang untuk membangun masyarakat yang adil dan beradab. Islam adalah agama kasih sayang dan menebarkan rahmat bagi semesta alam (Rahmatan Lil-
‘Alamin), kiranya pendekatan ini akan mampu memberikan solusi jangka panjang sebagai alternatif bagi permasalahan radikalisme, katanya.- MalaysiaGazette