KUALA LUMPUR – Sama ada Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan atau hanya sekadar dipinda akan akan dimuktmadkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya masih dalam proses kajian serta maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung akta tersebut pada masa ini.
“Sekiranya sesiapa sahaja terikat di bawah Akta Hasutan itu maka kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada pihak polis untuk tidak menggunakan akta tersebut terhadap mereka kerana kerajaan mengambil pendirian akta itu akan dikaji, dipinda atau dimansuhkan.
“Kita masih lagi sedang mengkaji tentang akta ini, work in progres saya harap satu keputusan muktamad akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri Dewan Rakyat hari ini.
Vui Keong menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai (PH), Fahmi Fadzil yang meminta menyatakan sama ada kerajaan boleh mengeluarkan perintah kepada pihak polis untuk menghentikan semua siasatan berasaskan Akta Hasutan 1948 terutamanya terhadap mereka yang mengadakan demostrasi secara aman.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, manifesto PH (Pakatan Harapan) berikrar menghapuskan úndang-undang yang menindas termasuklah Akta Hasutan 1948.
Ketika menjawab soalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kluang (PH), Wong Shu Qi yang hendak tahu sekiranya ada cadangan untuk memansuhkan akta yang tidak berasaskan prinsip kebebasan bersuara, Vui Keong berkata, pihaknya sedang mereformasikan pelbagai akta sedia ada untuk rakyat.
“Kami tidak mengikat sesiapa sahaja di negara ini untuk menyuarakan dan memberi kritikan secara konstruktif terhadap kerajaan atau mana-mana ahli Kabinet.
“Kami mengambil pendekatan kita bebas dikritik oleh rakyat atas sebarang dasar asalkannya kritikan itu tidak bersifat peribadi dan menghina individu,” ujarnya.
Sementara itu, Vui Keong menolak dakwaan terdapat cubaan menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik pemimpinnya susulan penahanan seorang lelaki yang didakwa telah menghina Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan penahanan individu yang menghina kerajaan atau mana-mana ahli kabinetnya.
“Kami tidak menghalang individu daripada menyuarakan pendapat dan memberi kritikan yang membina kepada kerajaan, atau sesiapa yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran,” tegas beliau. –MalaysiaGazette