KUALA LUMPUR – Siswazah yang baharu memulakan pekerjaan sejak tahun 2007 menerima gaji awal bawah RM2,000 dan ia tidak banyak berubah sehingga tahun 2015.
Itu menurut laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2016 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan tersebut yang dibuat hasil daripada dapatan utama Kajian Pengesanan Siswazah 2015 menunjukkan 54 peratus daripada siswazah memperioleh pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Daripada segi pendapatan, sejumlah 54 peratus daripada siswazah memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Gaji permulaan siswazah pada amnya kekal tidak berubah sejak tahun 2007 meskipun ada sektor tertentu iaitu industri perkhidmatan kewangan serta minyak dan gas yang menawarkan gaji lebih tinggi pada peringkat awal kemasukan,” kata laporan tersebut.
Daripada hasil dapatan itu, BNM mengesyorkan supaya kajian yang teliti dibuat bagi mengenal pasti puncanya.
“Pemerhatian-pemerhatian ini mengundang persoalan lanjut bagi ahli akademik dan pembuat dasar.
“Penyelidikan yang lebih mendalam adalah wajar untuk mengenal pasti punca pemerhatian ini dan seterusnya penggubalan tindak balas dasar yang sesuai,” katanya lagi.
Bagi gaji permulaan untuk siswazah berkelulusan diploma, statistik menunjukkan pada tahun 2007 gaji permulaan yang ditawarkan adalah RM1,154 dan meningkat kepada RM1,298 pada tahun 2015.
Bagi siswazah berkelulusan ijazah pertama, gaji permulaan pada tahun 2007 adalah RM1,734 dan meningkat kepada RM2,182 pada tahun 2015.
Laporan yang dikeluarkan hari ini dikumpul daripada siswazah universiti awam dan swasta, kolej universiti, politeknik, dan kolej komuniti.
Daripada 273,373 siswazah pada tahun 2015, sebahagian besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda (45 peratus) dan Diploma (43 peratus).
Dalam kalangan semua siswazah, 53 peratus dilaporkan telah mula bekerja, sebanyak 18 peratus pula memilih melanjutkan pengajian manakala 24 peratus masih menganggur.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda mencatatkan kadar pengangguran paling tinggi sebanyak 27.9 peratus dalam kalangan siswazah dengan pelbagai kelayakan.
Daripada segi bidang pengajian, siswazah dalam bidang sains, kesusasteraan dan sains sosial mempunyai kadar pengangguran yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette