KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa perlu berani bersuara dan mengkritik kelemahan pentadbiran kerajaan meskipun terpaksa berdepan dengan risiko dimasukkan ke dalam lokap demi memperjuangan hak mereka.
Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir menegaskan, sudah tiba masanya mahasiswa bangkit mendesak kerajaan berbuat sesuatu untuk mengatasi kemelut kesempitan hidup sehingga ada sebilangan mereka terpaksa ikat perut akibat kekangan kewangan.
“Saya masih menantikan sampai sekarang mahasiswa yang akan benar-benar melawan kerajaan, mahasiswa yang berani mempertikaikan kerajaannya, sebab mahasiswa sifatnya harus begitu.
“Mahasiswa perlu berdiri di atas landasan intelektual, berani bercakap benar bukan atas pengaruh atau sentimen politik kepartian.
“Mereka boleh cenderung kepada parti tapi dia seharusnya juga berani untuk mempertikaikan parti apatah lagi kerajaan.
“Harus berani melawan dan menentang, kena berani masuk lokap, kalau perlu, masuk lokap, benda baik disuarakan, biarlah. Mana ada lagi mahasiswa masuk lokap, zaman itu sudah lama,” katanya ketika rundingan meja bulat bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta pemimpin persatuan pelajar di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Dato’ Abu Samah; timbalannya, Mohd Faizan Alias dan Exco Mahasiswa, Muhd Nazirul Rohaizam.
Pada Ahad lalu, sebuah media tempatan melaporkan sebilangan pelajar di UM terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti untuk menahan lapar akibat kekangan kewangan.
Pelajar terbabit dipercayai datang daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian mereka di universiti awam itu.
Mohd. Ashraf Mustaqim juga berkata, segelintir mahasiswa hari ini didakwa ‘dipegang’ oleh parti politik tertentu dan pihak berkepentingan menyebabkan mereka takut untuk menyuarakan haknya meskipun dibelenggu kos sara hidup tinggi di UM.
“Mahasiswa itu adalah gagasan intelektual, pergi mana-mana, masuk kampung, orang tak percaya parti politik, orang tak percaya janji orang politik. Bila mahasiswa bercakap, orang akan percaya bila mahasiswa bicara.
“Jadinya penting untuk mahasiswa kekalkan identiti dan keluar serta berani. Kita mahu mahasiswa tuntut, tanyakan kepada kerajaan termasuk sesiapa pun, bantu diri sendiri untuk bantu pergerakan,” katanya.
Katanya lagi, mahasiswa perlu mencontohi dan mengikut jejak langkah aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim dan Mohd Fahmi Zainul yang lantang memperjuangkan hak golongan itu tanpa mempedulikan akibatnya.
“Saya rasa kita perlukan seorang lagi Adam Adli dan Fahmi Zainul tapi bukan orang-orang mahasiswa sedia ada yang saya nampak dalam beberapa gerakan sekarang yang cenderung ke arah kepartian.
“Dia bercakap atas naratif ataupun hujah-hujah parti, tak kira dia pembangkang atau pro kerajaan sekarang.
“Biar lunak bercakap sebagai seorang mahasiswa, tiada kena mengena dengan mana-mana parti, dia berani bercakap macam itu, pendirian sangat jelas dan lantang.
“Saya rasa mahasiswa macam itu saya nantikan sampai sekarang. Jadi keluar sekarang bangkit sebagai satu gerakan, lantanglah bersuara, apa nak jadi, jadilah dan inilah masa mahasiswa ambil peranan ini untuk jadi lebih lantang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette