Home Ekonomi Cukai Keuntungan: Sanggupkah bank berdepan risiko NPL?

Cukai Keuntungan: Sanggupkah bank berdepan risiko NPL?

Azrul Azwa Ahmad Tajudin

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan di negara ini tertakluk kepada peraturan-peraturan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meluluskan pembiayaan kepada peminjam.

Proses itu turut melihat keupayaan peminjam untuk membayar balik ansuran bulanan pembiayaan yang dibuat.

Ini kerana, kegagalan peminjam melunaskan pembiayaan masing-masing akan menyebabkan hutang tertunggak dan ia tidak baik kepada bank-bank.

Nisbah hutang yang tinggi akan menjejaskan daya tahan bank.

Lantaran itu, penganalisis ekonomi, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin berkata, Cukai Keuntungan (Windfall Tax) kepada bank-bank bukan isu dalam aspek memudahkan pemberian pinjaman.

“Mana-mana bank pun sudah tentu mahu meluaskan pembiayaan mereka kerana pinjaman adalah sumber pendapatan mereka.

“Akan tetapi pada masa sama, bank-bank terikat kepada peraturan Bank Negara Malaysia.

“Sudah tentu kita tidak mahu krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 berulang lagi,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Lim Guan Eng yang meminta institusi perbankan supaya memudahkan pemberian pembiayaan bagi merangsang perniagaan di negara ini.

Menteri Kewangan itu memberitahu, pihaknya sering mendengar rungutan kesukaran mendapatkan pinjaman.

Disebabkan itu, Guan Eng memberi amaran tentang Cukai Keuntungan kepada bank-bank.

“Saya dimaklumkan terdapat bank yang merekodkan keuntungan besar tahun lepas dan saya cuma ingin mengingatkan bahawa Malaysia tidak pernah mengenakan Cukai Keuntungan (windfall tax) kepada bank-bank, melainkan jika anda lebih suka membayar Cukai Keuntungan, lebih baik jika anda memudahkan pemberian pembiayaan,” katanya dalam sesi soal jawab sempena Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019 semalam.

Mengulas mengenai perkara itu, Azrul Azwa percaya kerajaan Malaysia tidak ada masalah untuk mengenakan Cukai Keuntungan  dalam sektor perbankan kerana ia pernah dilaksanakan kepada pemilik ladang kelapa sawit dan pengeluar tenaga bebas suatu ketika dulu.

Lagi pun, katanya, sumber utama keuntungan bank-bank memang daripada pembiayaan – sama ada perbankan konvensional atau Islam melalui kadar faedah dan pendapatan pembiayaan, selain pendapatan bukan faedah seperti pembiayaan korporat dan yuran perundingan.

Tetapi, menurutnya, kerajaan perlu menetapkan terlebih dahulu margin keuntungan bank-bank sebelum melaksanakan Cukai Keuntungan.

Cumanya, timbul persoalan mampukah bank-bank memudahkan pemberian pinjaman kepada para pelanggannya.

“Sanggupkah semua pihak mengambil risiko meningkatkan pembiayaan, selari dengan kenaikan NPL?.

“Itu persoalan penting yang perlu dilihat dan dikaji secara terperinci sebelum cadangan memudahkan pinjaman dilakukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette