KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dikhuatiri akan meningkatkan jumlah hutang negara, akibat faedah yang terpaksa ditanggung, sehingga RM130 bilion.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian kontrak projek yang dilakukan itu tidak mengambil kira kepentingan negara sebaliknya ia hanya menguntungkan pihak lain.
Ini kerana katanya, kerajaan terpaksa membayar pampasan sehingga berbilion-bilion ringgit dan perkara itu menjadi masalah apabila ia dihentikan.
“Tetapi kalau diteruskan pun kita akan terikat dengan hutang berbilion-bilion dan akan mengambil masa puluhan tahun untuk diselesaikan dan akhirnya jumlah hutang dengan faedah akan meningkat kepada RM130 bilion.
“Jadi, apabila menghentikan projek ini, kita selamatkan negara daripada hutang sejumlah itu, tetapi hutang masih ada yang perlu ditanggung oleh kita,” katanya.
Dr. Mahatir berkata demikian pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ahli Parlimen (PH-Langkawi) itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui sama ada Malaysia menanggung kerugian atas pampasan dan faedah-faedah tertentu selepas ECRL ditangguhkan sejak 3 Julai tahun lepas.
Sementara itu, pada sidang medianya di lobi Parlimen, Perdana Menteri berkata, jika projek ECRL diteruskan, kerajaan terpaksa meminjam kira-kira RM60 bilion untuk membuat bayaran balik.
Malah katanya, kerajaan terpaksa membayar balik dengan faedahnya sekali dan ia akan mengambil masa kira-kira 30 tahun.
“Dalam tempoh berkenaan jumlah itu ditambah dengan faedah akan mencapai lebih RM100 bilion yang dianggarkan kira-kira RM130 bilion.
“Sebab itu, kita tidak mampu membiayai projek ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette