KUALA LUMPUR – “Ada tidak menambah, tak ada pun tak apa”.
Itu sindiran Ahli Parlimen (BN-Kinabatangan) Datuk Bung Moktar Raden terhadap ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau membangkitkan perkara itu ketika menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) berhubung tindakan lompat parti ahli Parlimen UMNO yang dilihat seolah-olah tidak dikenakan tindakan selepas menyertai parti kerajaan.
Menurutnya, ahli-ahli Parlimen berkenaan seperti tidak mempunyai fungsi di dalam parti baru yang disertai dan mendakwa langkah mereka lompat parti adalah kerana kepentingan dan mahu menyelamatkan diri.
“Mahatma Gandhi pernah berkata, politik tanpa prinsip akan menghancurkan negara. Inilah yang berlaku, rakyat kucar-kacir, negara tidak menentu pemimpin-pemimpin parti yang mereka lompat pun tidak menentu antara satu sama lain.
“Dan mungkin mereka melompat untuk kepentingan diri sendiri. Dengan apa pun alasan bagi saya mereka melompat atas kepentingan diri mereka sendiri.
“Biarlah rakyat yang menentukan untung nasib mereka arah tuju mereka, sebab saya percaya rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan.
“Mereka boleh tipu satu kali dua kali tapi rakyat tidak boleh ditipu berkali-kali.
“Saya percaya rakyat akan menentukan untung nasib Pakatan Harapan pada masa akan datang,” katanya.
Bung Moktar berkata, isu lompat ini hanya berlaku di negara ini tetapi tidak di negara luar.
Katanya, apa yang menghairankan perkara itu sering terjadi setiap kali selepas berlangsungnya pilihan raya.
“Bagi saya orang yang lompat parti ini adalah orang yang hilang maruah, orang yang tidak ada pegangan dan kekuatan. Dalam kehidupan ini banyak benda kita boleh gadai tapi orang tua saya kata jangan gadai maruah,” ujarnya.
Beliau mengharapkan agar Parlimen meluluskan satu akta berkaitan anti lompat parti sebagai memberi pengajaran kepada mereka yang bertindak demikian.
“Saya memang mengharapkan Parlimen meluluskan usul iaitu Akta Anti Lompat Parti, supaya tidak lagi ada ahli parlimen melompat macam katak, macam monyet macam lotong,” sindirnya.
Terdahulu, beliau mengambil bahagian membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agong bagi pada mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen keempat belas di Dewan Rakyat. – MalaysiaGaette