Home Seni Hidup Adan Laundry sasar buka 30 cawangan baharu

Adan Laundry sasar buka 30 cawangan baharu

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz diiringi Pengarah Urusan Adan Laundry, Zamani Zakaria melakukan gimik Pelancaran Pakej Dobi Layan Diri Mampu Milik dan Sambutan Ulang Tahun ke-9 Adan Laundry di Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Pusat dobi layan diri, Adan Laundry menyasarkan untuk membuka sebanyak 30 cawangan lagi di seluruh negara pada tahun ini menerusi pelantikan francaisi.

Pengarah Urusannya, Zamani Zakaria berkata, pihaknya menawarkan pakej francais dobi layan diri pada harga mampu milik serendah modal sebanyak RM97,000.

Jelas beliau, sehingga kini Adan Laundry memiliki sebanyak 41 cawangan di seluruh negara.

“Kami menyasarkan pertambahan cawangan Adan Laundry di kawasan luar bandar kerana yakin dengan potensi yang ada di kawasan-kawasan berkenaan.

“Apatah lagi syarikat melihat perkhidmatan ini semakin menjadi satu keperluan bagi masyarakat pada hari ini.

“Sehingga kini sebanyak tujuh cawangan baharu yang menjadi jumlah sebanyak 41 cawangan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-9 Adan Laundry di Damansara Damai di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Azlina Juliani Abdul Jalil.

Zamani menambah menerusi pakej baharu francaisi, bakal usahawan mampu menjana pendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan selain membuka kepada golongan pendapatan rendah dan sederhana untuk menceburi bidang francias ini

Sementara itu, Azlina memberitahu, pihaknya menyasarkan pasaran berpotensi baharu seperti Asia Barat dalam mengembangkan perniagaan syarikat francais dalam tempoh selewat-lewatnya tahun hadapan.

MGF20032019_RASMI DOBI ADAN12
Pengarah Urusan Adan Laundry, Zamani Zakaria bercakap kepada media Majlis Pelancaran Pakej Dobi Layan Diri Mampu Milik dan Sambutan Ulang Tahun ke-9 Adan Laundry di Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2019.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti mana-mana syarikat fraincais yang sudah bersedia untuk menembusi pasaran lebih luas berbanding tumpuan yang hanya diberikan di rantau Asia Tenggara ketika ini.

Menurutnya, sebelum meneroka ke negara luar, para usahawan tempatan terlebih dahulu perlu mantap khususnya dalam pengetahuan dan selok-belok perniagaan agar mereka memperoleh hasil yang positif.

“Kami tidak hanya memberi tumpuan pada syarikat francais dalam sektor makanan dan minuman (f&b) sahaja sebaliknya segmen perkhidmatan seperti kedai dobi layan diri turut berpotensi untuk menembusi pasaran di sana termasuk Arab Saudi.

“Bagaimanapun, buat masa ini, PNS akan memberi fokus pada pasaran Asia Tenggara selain memantapkan para usahawan dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk daripada segi kewangan mahupun khidmat nasihat,” katanya. – MalaysiaGazette