Home Agama Penyembuhan penyakit pada jiwa tenang

Penyembuhan penyakit pada jiwa tenang

ALLAH sentiasa menciptakan setiap sesuatu secara berpasang-pasangan. Umpamanya hidup mesti mati, bila ada suka pasti akan adanya waktu duka, bila ada si miskin pasti adanya si kaya, bila ada baik tentu ada yang jahat, bila ada sakit pasti adanya keadaan yang sihat.

Ini semua adalah sunnahtullah yang tidak dapat dielakkan. Yang dikatakan sunnahtullah itu ialah sesuatu yang lumrah dan pasti akan berlaku kepada sesiapa pun juga selagi kita bernama manusia.

Tujuan manusia dan sekalian makhluk diciptakan di muka bumi ini adalah untuk menyatakan Allah serta menjalankan semua kisah penceritaanNya melalui segala ketetapan buruk dan baik dalam keadaan taat, patuh dan tunduk kepada segala kekuasaan dan kemahuannya Allah.

Manusia tidak berdaya untuk memenuhi kemahuan sendiri bahkan kalau ia berkemahuan sekalipun, ia tetap bergantung kepada keputusan dan kemahuan Allah juga.

“ Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa-apa yang kamu perbuat itu “ Surah As Shaffat ayat 96.

Penyakit adalah salah satu dari sunnahtullah yang tidak dapat dibantah oleh manusia.
Diturunkan olehNya penyakit supaya manusia kembali kepada Allah dengan hati yang penuh patuh dan taat mengaku akan kudrat serta iradatnya Allah.

Penyakit menyebabkan manusia mencari jalan mengubatinya dan dengan izin Allah jua, penyakit itu dapat disembuhkan.

Jalan mengubati itu ada bermacam-macam maka terpulanglah kepada individu tersebut untuk memilih perubatan yang sesuai dengan kemampuan serta keserasian masing-masing.

Kita sungguh beruntung kerana di negara kita ini, segala bentuk kaedah pengubatan terbuka luas untuk dipilih oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

Pilihlah perubatan apa saja bahkan pengubatan secara rukyah, traditional dan komplementari juga tersedia di merata tempat dalam negara ini.

Hakikat yang perlu diketahui oleh semua orang ialah penyembuhan sesuatu penyakit itu adalah hak mutlak Yang Maha menciptakan manusia dan penyakit itu sendiri.

Apabila seseorang jatuh sakit maka wajiblah ia mencari ubat supaya kesihatan hidup dapat dikekalkan bagi menjalankan hidup ini dalam keadaan normal.

Seseorang dikatakan sembuh setelah penyakit yang di hidapinya telah hilang dari segi rupa, rasa dan akibatnya sakit itu.

Apabila seseorang manusia sudah sedar bahawa penyakit adalah suatu anugerah yang membawa maksud tertentu terhadap dirinya maka akan damailah perasaannya menerima penyakit tersebut.

Meskipun rupa dan rasa penyakit itu belum hilang sepenuhnya, namun bila hatinya sudah tenang dan redha menerima ketetapan dan ketentuan Allah secara patuh tanpa bantahan itulah yang disebut sebagai penyembuhan yang sebenar.

Selagi manusia tidak mahu menerima bahawa keberadaannya di dunia ini adalah untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah, maka selagi itulah manusia berada di alam keadaan sakit tanpa disedari.

Contohnya apabila manusia berkehendak tanpa menyedari bahawa yang Maha berkehendak itu hanyalah Allah, maka akan menderitalah batinnya jika kehendaknya tidak tercapai sebab tidak menyamai apa yang dikehendakki oleh Allah.

Batin yang menderita itu sebenarnya merupakan satu penyakit. Jiwa yang menderita itu sebenarnya adalah jiwa-jiwa yang sakit.

Oleh yang demikian, maka fahamlah kita bahawa penyembuhan yang sebenar adalah terletak pada jiwa yang tenang.

Jiwa yang tenang adalah jiwa yang tunduk patuh serta taat tanpa membantah apa saja yang di takdirkan Allah kepada dirinya. – MalaysiaGazette

Dr Faridah Hamzah Artikel ini ditulis oleh Dr Faridah Hamzah. Beliau adalah ahli Perdim Negeri Sembilan