Home Nasional Kecederaan Adib bukan sebab dipukul, ditumbuk, ditendang

Kecederaan Adib bukan sebab dipukul, ditumbuk, ditendang

Dr Ahmad Hafizam Hasmi

SHAH ALAM – Corak kecederaan yang dialami oleh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak sepadan dengan tindakan dipukul, tumbuk atau tendang.

Sebaliknya, Pakar Perubatan Forensik Doktor Ahmad Hafizam Hasmi yang menjalankan bedah siasat ke atas anggota bomba itu pada 18 Disember yang lalu berpendapat kemungkinan Adib terkena tekanan kuat objek keras.

“Pada pandangan saya corak kecederaan yang diperiksa pada simati adalah tidak berpadanan cedera akibat dipukul,” katanya ketika memberi terangan di Mahkamah Koroner.

Malah, jelasnya, jasad Adib ketika diperiksa tidak menunjukkan kecederaan di muka, kepala atau abdomen, bahagian yang sinonim dengan tindakan mempertahankan diri.

Corak kecederaan bahagian toreks pada jasad mayat juga bukanlah cedera kebiasaan dipukul atau ditendang atau ditumbuk.

Kecederaan dan lebam di bahagian tangan dan bahu kanannya pula konsisten dengan impak jatuh ke hadapan kemudian mengenai objek keras.

Objek keras itu berkemungkinan kereta atau bahu jalan selepas didorong daun pintu EMRS.

Berdasarkan video, kebarangkalian Adib berada di luar EMRS kemudian dihentam pintu kenderaan tersebut.

“Kebarangkali jatuh ke kereta, asalkan memenuhi kriteria objek keras, tertonjol bucu kereta atau apa-apa objek lain yang berada di tempat itu,” tambahnya lagi.

Ahmad Hafizam berkata, perkara ini dikuatkan lagi dengan maklumat konstrukstif sebelum ini bahawa pemandu van bomba mengesahkan Adib tidak ada di tempatnya ketika trak FRT menolak van EMRS secara mengundur.

“Pemandu kenderaan EMRS memberitahu penumpang hadapan (Adib) tiada dalam kenderaan selepas trak bomba mengundur menyebabkan ia menghentam EMRS.

“Berdasarkan maklumat tersebut, kemungkinan yang berlaku adalah jika benar simati berada di luar, simati dalam keadaan berdiri menghadap ke arah belakang membelakangi trak bomba menerima impak daripada kenderaan EMRS dan menyebabkan kepatahan belakang rusuk kiri 1 hingga 7,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak boleh mengesahkan Adib dihimpit oleh dua kereta seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebelum ini, kata Ahmad Hafizam, paru-paru Adib cedera teruk apabila tulang rusuknya yang patah di hadapan kanan menyucuk organ dalamannya itu.

Saksi dalam masa yang sama ditayangkan video kejadian rusuhan kuil Sri Maha Mariamman yang menunjukkan EMRS bergerak mengundur selepas FRT bergerak. – MalaysiaGazette