KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa perlu dipisahkan daripada kepompong politik kepartian sebagai langkah mengembalikan zaman keemasan gerakan mahasiswa era 60an.
Presiden Persatuan Bela Islam Nasional (Pembina), Muhammad Azam Asri berkata, apa yang berlaku pada hari ini ialah mahasiswa yang melibatkan diri dengan politik sebenarnya tidak membawa sebarang kecenderungan dan keperluan kepada mereka.
Katanya, perkara itu telah menyebabkan gerakan mahasiswa yang mencapai ke arah matlamat sebenar menjadi lesu ekoran tidak ramai yang berminat untuk menyertainya.
“Kita tengok yang terlibat dengan gerakan-gerakan mahasiswa pun tak ramai berbanding dahulu.
“Mungkin jumlah gerakan mahasiswa dulu lebih ramai berbanding sekarang.
“Mahasiswa sekarang ini berdepan dengan konflik diri dia sendiri, jadi pendekatan ataupun cara kita nak memdekati mahasiswa untuk terlibat dengan gerakan mahasiswa ini berbezalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsan Pembina kali ke-12 di sini hari ini.
Dalam pada itu Muhammad Azam berkata, persatuan mahasiswa juga perlu diberikan kebebasan agar tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Meskipun tidak menyekat sekiranya ada mahasiswa yang ingin berbuat demikian (menyertai politik kepartian), tetapi langkah itu diambil hanya untuk mengelak kelompongan diisi oleh pihak yang tidak sewajarnya, katanya.
“Jadi, kita nak terlibat dalam politik tapi bukan politik kepartian. Maknanya, mereka boleh terlibat dengan politik tapi mestilah yang boleh membantu agama, bangsanya. Kita akan sokong.
“Kita tak nak politik kepartian ini akan mentyebabkan mahasiswa terpaksa sokong perkara-perkara salah. Walaupun jelas ia salah tapi terpaksa sokong. Itu kita tidak mahu,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Azam menegaskan Pembina tidak bersetuju dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kemahuannya terhadap suara anak muda dalam menyertai politik.
Jelasnya, langkah tersebut akan mengulangi sejarah politik lama yang mana ia hanya akan menyelamatkan periuk nasi pihak-pihak tertentu yang akhirnya mewujudkan generasi yang sama.
Bagaimanapun katanya, jika politik kepartian ini hendak dibawa ke kampus ia perlu ada kawalan dan mahasiswa tidak semudahnya dibenarkan untuk terlibat secara aktif.
“Kita nak politik yang boleh beri manfaat kepada semua orang. Kita tengok trendnya mahasiswa Melayu ini suka politik, nanti bila dia terlibat dengan politik, yang lain terlepas.
“Jadi ia merugikanlah, politik boleh terlibat tapi kena kawal jika di kampus,” tambahnya. – MalaysiaGazette