BALI – Polis Bali menahan seorang pelancong warga Rusia yang yang cuba menyeludup keluar Orang Utan dari Indonesia semalam.
Andrei Zhestkov ditahan di Lapangan Terbang Denpasar lewat malam Jumaat semasa melalui imbasan kawalan keselamatan untuk penerbangan balik ke Rusia.
Zhestkov disyaki telah memberikan bius dadah kepada Orang Utan itu dan meletakkan dalam bagasinya untuk membawa pulang ke rumah sebagai haiwan peliharaan.
Polis pada mulanya mencuriga dengan tindakan pelik individu itu membawa bagasi sebelum menghentikan suspek dan membuka bagasinya.
Hasil pemeriksaan, polis menemui Orang Utan jantan berusia 2 tahun tidur di dalam bakul rotan.
“Kami percaya Orang Utan telah diberi suntikan bius untuk menidurkannya dan ubat-ubat berkaitan turut ditemui di dalam bagasi itu,” Kata Pegawai Agensi Konservasi Bali, Ketut Catur Marbawa.
Tambahnya, suspek dilihat bersiap sedia seolah membawa bayi dalam beg besar.
Menurutnya, suspek berusia 27 tahun itu membalut Orang Utan itu seperti seornag bayi menggunakan selimut.
Polis juga menemui dua ekor tokek dan lima ekor cicak yang masih hidup.
Zhestkov memberitahu pihak berkuasa bahawa haiwan eksotik dan dilindungi itu telah dihadiahkan oleh seorang lagi pelancong senegaranya.
Katanya, individu itu mendapatkan Orang Utan itu dari pasar di Jawa pada harga AS$3,000.
Dakwanya lagi, individu itu telah memujuknya bahawa tidak ada masalah untuk membawa Orang Utan itu ke Rusia dan dijadikan haiwan peliharaan.
Kini Zhestkov berdepan hukuman penjara lima tahun denda AS$7,000 atas kesalahan menyeludup Orang Utan.
Orang Utan merupakan haiwan terancam menurut laporan Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam Semulajadi sambil mendedahkan hanya 100,000 yang masih tinggal di serata dunia.
Empat warga Indonesia ditahan tahun lalu kerana membunuh Orang Utan dengan 130 das tembakan.- MalaysiaGazette