LONDON – Perdana Menteri Britain, Theresa May, dijangka digulingkan dalam beberapa hari lagi, menurut laporan The Sunday Times, kerana strategi Brexit.
Britain mempunyai beberapa minggu lagi sahaja sebelum United Kingdom akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Sekiranya May digulingkan, kedudukan Brexit akan terus menjadi samar.
Setakat ini, tidak jelas bagaimana dan bila United Kingdom akan meninggalkan EU.
May, yang mengundi untuk terus bersama EU dan dipilih untuk menerajui jawatannya dalam keadaan huru-hara selepas referendum 2016, telah bersumpah untuk melaksanakan Brexit.
Perjanjian untuk Brexit yang dimulakan dengan EU pada bulan November telah ditolak dua kali oleh penggubal undang-undang British.
The Sunday Times memetik 11 menteri kanan yang enggan didedahkan berkata, mereka telah bersetuju May melepaskan jawatannya.
Malah, mereka memberi amaran bahawa May telah menjadi ‘toksik’. Waktunya semakin hampir. Dia akan hilang kuasa dalam masa 10 hari, “kata Sunday Times memetik seorang menteri.
David Lidington, adalah salah satu pesaing untuk menjadi Perdana Menteri sementara tetapi ada yang mencalonkan Setiausaha Alam Sekitar, Michael Gove atau Setiausaha Luar Negeri, Jeremy Hunt.
Akhbar itu berkata, menteri kabinet akan berdepan dengan May pada hari Isnin.
Jika perdana menteri itu enggan melepaskan jawatan, menteri-menteri akan mengancam untuk meletakkan jawatan.
Brexit sepatutnya diselesaikan pada 29 Mac sebelum May berjaya menangguhkan perbincangan dengan EU pada hari Khamis.
Kini tarikh 22 Mei akan diguna pakai jika Parlimen berada di belakang May dan perdana menteri itu boleh meluluskan perjanjian.
Jika beliau gagal, Britain akan mempunyai sehingga 12 April untuk menawarkan rancangan baharu atau memutuskan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa perjanjian. – MalaysiaGazette