KUALA LUMPUR – Baharu empat hari tayangan filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, tapi sudah ada pihak yang tidak bertanggungjawab merakamkannya secara haram.
Perkata ini didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Nadzri.
Katanya, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh penerbit filem itu sendiri Burhanuddin Md Radzi.
“Penerbit filem itu, Burhanuddin mengadu beberapa penonton bertindak merakam visual lebih empat minit menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di laman sosial.
“Bagaimanapun, Finas melalui sebuah pasukan khas yang dibentuk untuk mengekang aktiviti seperti ini berjaya ‘menarik keluar’ rakaman itu daripada terus tular,” katanya.
Ahmad Idham memohon semua pihak khususnya pengurusan pawagam supaya sentiasa memantau aktiviti berkaitan dengan meningkatkan tahap pengawasan di dalam panggung.
Beliu juga tidak teragak-agak menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dengan aktiviti berkaitan.
Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang mula ditayangkan sejak 21 Mac yang lalu menelan kos sebanyak RM20 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan 100 peratus menggunakan kepakaran anak tempatan.-MalaysiaGazette