KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.
Baginda menitahkan siasatan secara menyeluruh dilakukan kerana tidak mahu kejadian seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang lagi.
Sultan Ibrahim juga mahu pihak berkuasa berkaitan segera mengemukakan laporan berhubung pencemaran itu.
“Lakukan siasatan dan saya juga mahukan laporan segera berhubung perkara ini. Sesiapa sahaja terlibat perlu bertanggungjawab kerana melakukan pencemaran terhadap sungai-sungai.
“Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda. – MalaysiaGazette