KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjanji tidak akan menyemak atau mengaudit secara lebih lanjut jika pembayar cukai melakukan pengakuan dengan mengisytiharkan cukai-cukai terdahulu yang belum dijelaskan melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan “saling mempercayai” (good faith) dalam mengendalikan kes-kes pengakuan sukarela.
Katanya, LHDN akan menerima pengisytiharan pembayar cukai secara adanya tanpa melakukan semakan sama ada apa yang dikemukakan itu betul atau sebaliknya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan mereka yang melakukan pengakuan sukarela supaya membuat pengisytiharan dengan setepat mungkin.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada Sinchew Daily, Sabin juga berkata, LHDN tidak akan berkongsi maklumat yang dikemukakan pembayar cukai dengan pihak ketiga.
LHDN sedang melaksanakan PKPS bagi menggalakkan pengakuan sukarela oleh pembayar cukai yang belum melaporkan pendapatan yang disimpan di dalam dan luar negara.
Pembayar cukai digalakkan merebut peluang untuk membuat pengisytiharan pendapatan dalam tempoh yang diberikan bagi menikmati kadar penalti yang jauh lebih rendah iaitu 10 peratus hingga 15 peratus daripada amaun yang kena dibayar dan bayaran boleh dibuat secara ansuran.
Selepas 1 Julai 2019, pembayar cukai yang dikesan tidak patuh dalam pengisytiharan cukai pendapatan boleh dikenakan penalti antara 80 hingga 300 peratus.
Sabin berkata, pembayar cukai boleh menggunakan peluang yang ditawarkan melalui PKPS untuk mengurangkan beban denda manakala negara dapat mengumpul hasil yang lebih banyak.
“Kami memerlukan kerjasama pembayar cukai untuk mengisytiharkan pendapatan terdahulu dengan setepat mungkin,” katanya.