KUALA LUMPUR – Terdapat 25,837 kes Tibi telah dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu, penurunan sebanyak 1.3 peratus berbanding 26,168 kes pada tahun 2017.
Kadar kematian Tibi pada tahun 2018 adalah 6.6 setiap 100,000 penduduk dan telah meningkat berbanding 6.5 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, analisa hasil rawatan bagi kes Tibi berdaftar bagi tahun 2017 menunjukkan terdapat 1 kes kematian dalam setiap 10 kes berdaftar.
“Sehubungan itu, adalah penting pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi dan kematian akibat penyakit Tibi dan pada masa yang sama bagi mencegah penularan kepada orang lain.” katanya sempena sambutan Hari Tibi 2019 dengan tema “Inilah Masanya: Kesan, Rawat dan Pastikan Sembuh Tibi”.
Tema ini, kata Dr Noor Hisham membawa maksud individu yang mempunyai tanda-tanda penyakit tibi seperti batuk-batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah perlulah tampil ke klinik kesihatan dan melakukan ujian saringan Tibi iaitu pemeriksaan kahak menggunakan mikroskop dan ujian x-ray dada.
Terdapat segelintir masyarakat beranggapan bahawa batuk tersebut adalah ‘batuk biasa’ yang akan ‘sembuh’ dengan mengambil ubatan antibiotik selama satu minggu sahaja.
Anggapan salah seperti inilah menjadikan penyakit Tibi masih merebak di udara dan boleh menjangkiti individu yang lain.
Hakikatnya ubat-ubatan Tibi perlu diambil setiap hari selama sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Noor Hisham menambah, hebahan mengenai penyakit Tibi akan diteruskan agar maklumat mengenai penyakit ini dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Stigma dan salah faham berkaitan penyakit Tibi perlu diperbetulkan. Pihak kementerian menyeru komitmen semua pihak yang memberi perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit Tibi di negara ini termasuklah fasiliti kesihatan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), kerajaan tempatan dan masyarakat setempat untuk bersama-sama berganding bahu dalam membanteras penyakit bagi menjamin kesihatan rakyat tanpa Tibi,” katanya.
Dengan komitmen yang tinggi oleh semua, hasrat Malaysia untuk bebas Tibi satu hari nanti akan menjadi kenyataan. – MalaysiaGazette