Home Utama Sultan Selangor bimbang penjawat awam, ahli politik terlibat dalam rasuah

Sultan Selangor bimbang penjawat awam, ahli politik terlibat dalam rasuah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan tentang statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan ribuan kertas siasatan salah laku rasuah ke atas penjawat awam dan ahli-ahli politik.

Baginda berkata, statistik ini memberi gambaran buruk terhadap penjawat awam dan orang-orang politik yang merupakan pemimpin kepada rakyat dan negara.

Lantaran itu, Sultan Selangor mengingatkan para penjawat awam dan ahli politik diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan awam dan pentadbiran negara sebagai jalan mudah untuk mengumpul harta kekayaan untuk kepentingan diri sendiri.

MGF26032019_SULTAN SELANGOR RASMI SPRM10
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull (kiri) berkenan menurunkan tandatangan sebagai gimik Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2019.

Baginda menintahkan agar dua golongan ini menunaikan tanggungjawab mereka sebagaimana ikrar yang dilafazkan ketika dilantik dan diangkat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Beta ingin mengingatkan agar para pemimpin negeri serta penjawat awam sentiasa menitik-beratkan etika kerja berlandaskan nilai-nilai murni dan kejujuran tinggi semasa menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Rasuah merupakan satu perbuatan salah guna kuasa dan kedudukan bagi tujuan memperkayakan diri sendiri, anggota keluarga serta kroni-kroni ketika seseorang itu memegang jawatan yang diamanahkan dengan tanggungjawab mentadbir urus sumber awam.

“Menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewahan.

“Kita perlu mengingati sumpah jawatan yang telah diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur kepada rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull (dua kanan) berkenan hadir pada Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2019.

Tegas baginda, pelbagai faktor boleh dikaitkan mengapa seseorang terlibat dengan amalan jenayah.

Antaranya apabila seseorang itu melayani hawa nafsu mahukan kemewahan dengan cepat di dalam kehidupan melalui apa cara sekalipun.

Untuk itu, baginda menitahkan SPRM agar tidak terlepas pandang kepada gejala rasuah, bukan sahaja dalam sektor awam bahkan kini turut berlaku melibatkan sektor swasta.

“Kita sering mendengar gejala rasuah yang diamalkan oleh pegawai dan kakitangan di sektor awam, namun pada hakikatnya gejala rasuah berlaku juga di sektor swasta.

“Malah, hari ini turut berlaku dalam institusi agama serta badan-badan sukarela dan badan sukan.

“Pihak SPRM juga perlu memastikan penguatkuasaan juga dilakukan terhadap mereka yang terlibat gejala rasuah di sektor swasta dan badan-badan terbabit,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette