Home Nasional Bantah Ronald jadi Pengerusi PAC bukan sebab individu – Nurul Izzah

Bantah Ronald jadi Pengerusi PAC bukan sebab individu – Nurul Izzah

Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar tetap mempertahankan pendiriannya bahawa Datuk Seri Ronald Kiandee perlu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, struktur PAC perlu dipertahankan.

Tegasnya, beliau amat menghormati Ronald tetapi isu ini bukan tentang individu.

“Bukan juga tentang siapa pegang jawatan apa atau personalitinya dan peletakan jawatan saya adalah untuk menyatakan pendirian yang jelas,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, PAC adalah institusi yang diwujudkan bagi menangani perbelanjaan kerajaan yang keterlaluan.

Malah, ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan, katanya, Timbalan Pengerusi PAC adalah dalam kalangan pembangkang.

“Saya hanya menegaskan pendirian saya dalam perkara ini suka atau tidak, kita perlu memastikan tiada perbelanjaan berlebihan oleh eksekutif.

“PAC pula adalah institusi yang memantau perkara ini,” ujarnya lagi.

Ronald dilantik sebagai Pengerusi PAC ketika masih menjadi ahli Parlimen Beluran (BN) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan PAC pula adalah Wong Kah Woh (DAP) – menjadikan dua jawatan tertinggi itu dipegang oleh kerajaan, sekali gus bertentangan dengan janji manifesto Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette