Home Nasional Akta Keselamatan, kesihatan pekerja akan dipinda

Akta Keselamatan, kesihatan pekerja akan dipinda

Dewan Rakyat
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan dipinda dalam usaha memperkemas peraturan sedia ada bagi mengekang kecuaian dan kemalangan di tempat kerja.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu kini sedang menggubal peraturan kerja bagi dimasukkan di bawah akta tersebut.

Ia sekali gus akan menjadi mandatori kepada empunya, pereka bentuk, pembina dan kontraktor yang terlibat dalam industri pembinaan, katanya.

“Peraturan kerja bina itu nanti akan mengambil alih keperluan yang dinyatakan dalam garis panduan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan dalam Pembinaan (OSHIM) dan akan memastikan semua yang terlibat dalam industri pembinaan akan mematuhinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Ahmad ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memandatorikan garis panduan OSHIM untuk setiap pemaju industri terutamanya sektor pembinaan demi mengurangkan kejadian kemalangan waktu bekerja di tempat pembinaan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan berhadapan cabaran yang sangat besar iaitu penambahan bilangan tapak bina di seluruh negara kepada 18,110 tapak bina pada tahun lepas berbanding 9,017 tapak bina pada 2013.

“Ini adalah cabaran yang kita hadapi dan sudah tentu akan ada kes-kes membabitkan tidak mengikut garis panduan dan kita bersedia ambil tindakan selepas menjalankan pemeriksaan dan audit terhadap tapak bina,” tambahnya. – MalaysiaGazette