KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin (Rembau-BN) hari ini menimbulkan rasa marah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Khairy sebelum itu bangun bertanyakan soalan lisan mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH) dan dalam soalan tambahan itu beliau terus melemparkan provokasi terhadap Kor Ming ketika ditegur.
“Dulu BR1M ada kategori bujang RM450, kalau BN menang hari tu naik RM600. BSH asalnya tidak ada kategori bujang tetapi bersempena dengan PRK Semenyih diumumkan RM100 kepada bujang.
“Disebabkan kalau digunakan alasan tidak ada duit, saya nampak ada Rang Undang-Undang Perbelanjaan tambahan RM19 bilion, mungkin sempena PRK Rantau ini BSH akan diumumkan dan dinaikkan kepada RM450 seperti dibuat BN dulu,” tanya Khairy kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Kor Ming kemudian menegur Khairy agar memberikan soalan dan bukan ulasan.
Khairy bagaimanapun bertanya kepada Kor Ming sama ada beliau ada masalah dengan soalan komprehensif dan menyelitkan perkataan Taliban.
“YB Rembau, apa soalan?,” tanya Kor Ming.
“Ada masalah komprehensif, Taliban?,” soal Khairy kembali.
“YB Rembau, sila tarik balik,” balas Kor Ming.
“Taliban yang mana?” soal Khairy. Justeru beliau bertindak menarik balik perkataan taliban yang jelas ditujukan kepada Kor Ming.
“Saya tarik balik Taliban, ada masalah komprehensif speaker?,” sindir Khairy.
Dalam nada serius, Kor Ming menasihatkan anggota Dewan Rakyat agar tidak melakukan provokasi dan menjadikan apa yang dilakukan Khairy sebagai iktibar.
“Inilah dia, kita tidak saling iktibar. Bila kita nak pastikan dewan ini berjalan dengan lancar tetapi nampaknya ada provokasi. Ini sikap yang tidak patut kita belajar,” katanya sebelum memberi peluang kepada Guan Eng meneruskan perbahasan.
Kor Ming sebelum ini dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekaligus memecah belahkan rakyat. -MalaysiaGazette