Home Ekonomi Agihan 50 peratus cukai pelancongan telah disalurkan

Agihan 50 peratus cukai pelancongan telah disalurkan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Agihan 50 peratus cukai pelancongan bagi 2018 berjumlah RM67.74 juta telah disalurkan kepada kerajaan-kerajaan negeri setakat Mac.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, agihan tersebut dilaksanakan mengikut apa yang telah dijanjikan kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyoal sama ada Kementerian Kewangan akan mengagihkan hasil cukai pelancongan kepada kerajaan Sarawak sebelum akhir suku pertama 2019 seperti yang dijanjikan.

“Kerajaan Persekutuan akan menepati janji dan tidak akan bertindak seperti Datuk Abdul Karim yang sebelum ini membuat tuduhan palsu bahawa kerajaan mengagihkan hasil cukai pelancongan kepada Sabah tetapi tidak kepada Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri yang menerima 50 peratus hasil cukai pelancongan adalah Sabah sebanyak RM12.67 juta, Pulau Pinang (RM10.98 juta), Selangor (RM10.3 juta), Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta).

Diikuti Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000). -MalaysiaGazette