Home Ekonomi WHC 2019 sasar penyertaan 1,000 peserta

WHC 2019 sasar penyertaan 1,000 peserta

Persidangan Halal Dunia (WHC) 2019 yang akan diadakan buat kali ke-11 dianjurkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menyasarkan seramai 1,000 peserta akan hadir Persidangan Halal Dunia (WHC) 2019 yang akan berlangsung pada 3 April ini selama dua hari.

Naib Presidennya, Hanisofian Alias berkata, jumlah itu akan melibatkan 50 negara terdiri daripada ahli delegasi, pemimpin industri, penyelidik dan pihak lain yang komited terhadap pembangunan pengetahuan halal dan industri halal global.

Beliau berkata, antara sesi yang dijangka menjadi tumpuan adalah sesi panel menteri membabitkan menteri dari dua negara iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga, Korea, H.E. Yunmo Sung pada hari pertama.

“Pada hari kedua persidangan, peserta akan membincangkan mengenai prospek sektor halal di pasaran baharu muncul, membentuk ekosistem halal yang mampan serta sumbangan kewangan sosial Islamik terhadap pertumbuhan ekonomi halal.

“WHC juga merupakan platform untuk membincangkan mengenai cabaran-cabaran di dalam industri halal global dan merungkai persepsi serta isu- isu berkaitan industri halal global pada masa akan dating,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

IZW_3350
Hanisofian Alias

WHC 2019 yang akan diadakan buat kali ke-11 dianjurkan oleh HDC dan dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Persidangan itu bertemakan Hala Tuju Ekonomi Halal yang Mampan: Integrasi Pengantarabangsaan itu bagi meneroka peluang dan cabaran yang dihadapi industri halal menerusi siri wacana yang bertujuan mengintegrasi kemajuan teknologi, tadbir urus etika dan pasaran pesat membangun.

Sejak dianjurkan buat julung kalinya pada tahun 2007, WHC telah berjaya mengurangkan halangan dan pelbagai isu termasuk teknologi, infrastruktur, logistik, perolehan pengetahuan, latihan dan penjenamaan yang menyumbang kepada agenda pembangunan ekosistem halal negara.

Mengulas lanjut, Hanisofian yakin WHC akan terus melonjak nama Malaysia di kalangan dalam membangunkan industri halal global.

Beliau menjelaskan sinergi antara sektor-sektor ekonomi dunia ini jelas boleh meningkatkan ekonomi halal secara meluas serta turut  menjadi instrumen sokongan yang mampu membantu usaha kerajaan menarik pelaburan asing (FDI).

Seterusnya, kata beliau, ia akan dapat mewujudkan kelestarian ekonomi menerusi integrasi global serta pembangunan usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Malaysia melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif di mana semua pihak berpeluang memanfaatkan nilai halal yang dikongsi bersama melalui integrasi global dalam usaha untuk mengembangkan industri halal serta meningkatkan kecekapan operasi melalui perkongsian amalan tadbir urus etika yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette