PETALING JAYA – Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus memulakan tugasnya sulongnya apabila mengumumkan pelantikan Mario Gomez sebagai jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Datuk Ong Kim Swee.
Tunku Ismail yang diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu bagi penggal 2017-2021 terus membuat pengumuman itu pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Tunku Ismail, Gomez yang merupakan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memulakan tugas minggu depan manakala Kim Swee bakal mengendalikan skuad bawah 22 tahun (B-22) yang kini dikendalikan oleh Frank Bernhardt.
Tunku Ismail secara rasmi menduduki kerusi nombor satu FAM selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan baru Exco FAM pada Kongres ke-53 pagi tadi.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Kongres ke-53 FAM yang bermula 10.15 pagi di Hotel Hilton Petaling Jaya.
Pada pemilihan itu beberapa jawatan penting dalam FAM telah bertukar tangan.
Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengisi kerusi Timbalan Presiden selepas masing-masing mendapat 37 dan 33 undi.
Penyandang jawatan itu, Datuk Seri Afandi Hamzah memperoleh enam undi.
Empat kerusi Naib Presiden diisi Datuk S Sivasundaram, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Ab Ghani Hassan dan Mohd Joehari Mohd Ayub.
Bagi jawatan Exco pula, Datuk Azisman Alias; Datuk Aminuddin Omar; Datuk Hishamudin Yahaya; Datuk Jefferey Low; Md Dali Wahid; Christopher Raj; Subkhiddin Mohd Salleh dan Firdaus Mohamed terpilih manakala Exco wanita dibarisi Datuk Suraya Yaacob dan Shafizah Umamah Abdul Mutalib. – MalaysiaGazette