SEREMBAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan bermula esok.
Setakat ini, hampir pasti ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon pilihan Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan, Timbalan Ketua PKR Rembau, Dr. S. Streram.
Kurang 24 jam dari sekarang, proses penamaan calon bagi PRK ketujuh bagi tahun itu akan diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan yang dikemudi Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Nizam Tajul Arus.
Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan akan mula dibuka jam 9 pagi esok untuk proses yang sama.
Hampir pasti juga, seramai 20,926 pengundi berdaftar – terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi luar negara bakal menentukan wakil rakyat terbaharu di DUN Rantau.
Daripada jumlah itu, seramai 55 peratus atau seramai 11,283 pengundi adalah Melayu, 18.8 peratus atau 3,849 adalah Cina, 26.06 peratus atau 5,336 adalah India dan 0.02 peratus adalah lain-lain bangsa.
SPR bertindak mengadakan PRK Rantau selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas.
Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.
Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PKR, Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.
Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.
Katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan SPR atau ejennya yang mereka memerlukan pas untuk memasuki pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau. -MalaysiaGazette