KUALA LUMPUR – Isu yang kini merunsingkan segelintir pihak berhubung gaji permulaan siswazah dilaporkan semakin rendah bukan bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut menterinya, Dr. Maszlee Malik, pihaknya tidak mempunyai kuasa menentukan gaji permulaan para siswazah sebaliknya hanya menyediakan pendidikan seimbang bagi melahirkan graduan kompetitif serta berilmu untuk pasaran kerja.
Menurutnya, isu gaji permulaan siswazah yang dilaporkan menurun baru-baru ini perlu diteliti oleh industri pekerjaan.
“Itu kena tanya industri kerana mereka yang menyediakan peluang pekerjaan kerana kami di KPM tidak ‘menjaga gaji’ tetapi apa yang kami boleh lakukan ialah untuk menyediakan siswa yang berkemahiran tinggi, lebih terlatih, berilmu dan kompetitif untuk pasaran pekerjaan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di sini hari ini.
Bagaimanapun, kelmarin Maszlee dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi untuk melihat isu tersebut dan menyelesaikan ianya dengan lebih cepat.
Beberapa hari lepas, media melaporkan berpandukan Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak tahun 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.
Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji sebanyak RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada tahun 2010.
Sementara itu, gaji sebenar pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada tahun 2018 berbanding RM1,993 pada tahun2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji RM2,707, penurunan ketara daripada gaji sebanyak RM2,923 pada tahun 2010.
Bank pusat itu berkata, bukti yang ada menunjukkan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan mungkin adalah faktor penting dalam isu berkenaan.
Antara tahun 2010 hingga tahun 2017, kata bank pusat itu, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat seramai 173,457 orang setahun.
Laporan itu menyebut, pelaksanaan upah minimum menyokong peningkatan gaji pekerja berkemahiran lebih rendah dalam tahun kebelakangan ini lantas membolehkan gaji permulaan pekerja berpendidikan rendah yang lebih setara berbanding pekerja berpendidikan tinggi.
Sementara gaji permulaan siswazah dalam nilai benar menurun, ia berkata, gaji permulaan benar bagi pekerja berkelulusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 2.3 peratus. –MalaysiaGazette