KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan idea tanaman buluh oleh Pakatan Harapan adalah tidak pragmatik.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya satu per tiga masyarakat dunia tidak menjadikan buluh sebagai bahan utama berbanding getah dan sawit walaupun Timbalan Menteri Industri Utama berkata pasaran buluh berpotensi untuk diperluaskan.
“Getah dan sawit adalah tanaman yang jauh berpotensi daripada buluh.
“Malah sawit misalnya, begitu banyak inisiatif boleh difikirkan bagi tujuan menambah pendapatan pekebun kecil.
“Selain menghasilkan minyak sawit, kenapa tidak memanfaatkan pelepah sawit, tandan yang telah digunakan dan seumpamanya? Bukankah itu lebih baik daripada membuat tanaman baru seperti buluh?,” soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya tanaman buluh dilaksanakan, apakah langkah kerajaan untuk membantu pekebun kecil sepanjang tempoh penanaman semula tersebut.
Sudah tentu jangka masa panjang diperlukan sebelum dapat menikmati hasil jualan.
“Jika Perdana Menteri meminta penjawat awam ikat perut, adakah kini pekebun kecil juga disuruh ikat perut demi negara?,” tanya Ka Siong. – MalaysiaGazette