Home Politik Dua doktor sedang betulkan negara, apa salahnya pilih doktor ketiga

Dua doktor sedang betulkan negara, apa salahnya pilih doktor ketiga

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada Program Ceramah Kelompok Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Seri Lalang, Rantau, Negeri Sembilan. foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2019

PRK RANTAU – Penyakit ‘kleptokrasi’ yang telah menjangkiti negara sedang diubati dan dibersihkan kerajaan baharu yang ditadbir gabungan dua doktor perubatan terkemuka.

Sehubungan dengan itu, pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diseru supaya memberi mandat kepada seorang lagi doktor untuk menyertai pasukan ‘pengubat’ negara.

“Kita sedang mengubati dan memperbetulkan keadaan negara selepas dicemari kleptokerasi apabila dijajah Barisan Nasional selama lebih 60 tahun.

“Dua doktor kita ada iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seorang lagi doktor ialah saya Dr. Wan Azizah mengubati Malaysia daripada ‘kleptokrasi,” kata timbalan perdana menteri itu disambut tepukan gemuruh oleh para hadirin.

MGF31032019_TPM CERAMAH TPM KEMPEN PRK RANTAU05
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Program Ceramah Kelompok Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Seri Lalang, Rantau, Negeri Sembilan. foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2019

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramahumum Pakatan Harapan bersama calon Pilihan Raya Kecil N27 Dr. Streram di Kampung Sri Lalang, Rantau di sini malam ini.

Turut hadir ke Majlis ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Streram juga perlu diberi sokongan jitu dan dimenangkan sebagai wakil rakyat DUN Rantau kerana kepakarannya sebagai seorang doktor perubatan.

Menurutnya, Streram selaku calon PKR yang mewakili PH mempunyai kelebihan berlatarbelakangkan sebagai doktor bius terkemuka negara.

“Dia bukan sahaja doktor pakar, tetapi juga tidak pernah berputus asa apabila berjaya memperjuangkan hak dan keadilan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Kenapa PRK ini diadakan sekalian, pada PRU lalu dia tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk mencalonkan diri tetapi dia berjaya mempertahankan haknya.

“Kini kita kita ketengahkan doktor (Streram), apakah anda tidak mahu seorang lagi doktor dari Rantau untuk wakili anda menyertai dua doktor utama,” ujarnya.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mengakui bukan senang untuk berdepan bekas Menteri Besar dari BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya faham kita underdog, tetapi kita boleh berusaha dan mahu terus memperjuangkan keadilan dengan ketengahkan calon Streram.

“Kita akan cuba buat terbaik dan turun berkempen, dan walaupun tahu ini sukar sebab kubu kuat Mad Hasan, tetapi ada calon mempunyai kelebihan di Rantau.

“Kita akan ada tiga doktor selepas ini iaitu Dr Streram dari Rantau, boleh undi dan pilih dia tak?” tegasnya. -MalaysiaGazette