Home Nasional LHDN tuntut RM1.5 bilion dari Najib

LHDN tuntut RM1.5 bilion dari Najib

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi berdepan dengan tuntutan sebanyak RM1.5 bilion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Najb yang akan berdepan perbicaraan mahkamah Rabu ini dikatakan dikenakan tambahan tuntutan cukai kerana gagal mengisytiharkan pendapatan bercukai berjumlah RM4 bilion, termasuk RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

The Edge Markets yang memetik sumber terdekat mendakwa LHDN telah menghantar surat tuntutan secara peribadi kepada Najib seminggu lalu.

Kata akhbar tersebut, cukai itu bagi tempoh antara 2011 sehingga 2017 dan taksiran LHDN dana sumbangan yang dikatakan diterima daripada kerajaan Arab Saudi.

Kata The Edge Markets yang bertemu pakar percukaian menjelaskan, sumbangan itu tertakluk kepada cukai pendapatan dan sama ada wang tersebut adalah derma atau dicuri masih dianggap gagal mengisytiharkan pendapatan bercukai yang merupakan satu kesalahan.

“Jika pendapatan itu dari hasil haram, terpulang kepada agensi seperti polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat jika berlaku jenayah.

“LHDN hanya menguruskan soal cukai pendapatan,” katanya seperti dipetik.

Ahli Parlimen Pekan itu kini berdepan 42 tuduhan jenayah. Daripada jumlah itu, 10 tuduhan berhubung SRC International, bekas syarikat subsidiari 1MDB.

Ini termasuk tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, pecah amanah, dan penyalahgunaan kuasa.

MGF02032019_MALAM PENGEMUMAN PRK N. 24 SEMENYIH10
Najib Razak

Pada 8 Februari lalu, pihak pendakwaan menambah tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib, melibatkan dana RM47 juta yang didakwa diterimanya pada 8 Julai 2014.

Perbicaraan Najib pada mulanya dijadualkan pada 12 Februari lalu, namun ditangguhkan sementara menunggu beberapa rayuan yang difailkan peguam bekas presiden UMNO itu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menetapkan agar prosiding diteruskan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April tarikh perbicaraan seterusnya. –MalaysiaGazette