Home Politik Kerjasama UMNO-Pas bukan satu ancaman – Anthony Loke

Kerjasama UMNO-Pas bukan satu ancaman – Anthony Loke

Anthony loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dan Pas bukan satu ancaman kepada Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi apabila blok pembangkang itu melancarkan jihad untuk memerangi kerajaan anti Islam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerjasama dua parti Islam Melayu itu hanya sekadar percaturan politik, semata-mata untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam politik negara.

“Kerjasama itu biasalah memang dalam politik, setiap parti dan setiap gabungan akan cuba memperkuatkan diri mereka untuk mencabar parti pemerintah, itu biasa.

“Dulu masa kita dalam pembangkang, kita pun akan mencari pelbagai formula untuk memperkuatkan parti dan mencabar parti pemerintah.

“Itu bagi saya adalah percaturan politik masing-masing, bagi kita dalam PH, yang paling penting kita mesti fokus, kita telah diberikan mandat oleh rakyat tak sampai setahun, kita ada mandat lagi 4 tahun lagi,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon bahawa kerjasama UMNO-Pas merupakan jihad untuk menumbangkan Kerajaan PH yang anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Ismail Sabri juga dilaporkan berkata, kewujudan kerajaan pada hari ini dikuasai ahli Parlimen bukan Islam yang mempunyai jumlah kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat.

Anthony juga berkata, pemimpin PH tidak perlu melayan ancaman UMNO-Pas sebaliknya mengekalkan kesederhanaan bagi memastikan rakyat terus memberi sokongan kerana PKR, DAP, Amanah dan PPBM yang mewakili semua rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Kita bukan parti, kita bukan kerjasama hanya untuk mewakili kaum tertentu sahaja, ini adalah kerajaan Malaysia, kerajaan ini akan mewakili semua bangsa dan agama.

“Apa yang lebih penting kita mesti kekalkan fokus kita, dan kita mesti fokus kesejahteraan rakyat dan negara kita.

“Kerajaan PH mesti fokus kepada kebajikan rakyat dan meningkatkan ekonomi negara serta membantu mengurang kos sara hidup rakyat

“Kalau kita dapat menyelesaikan isu-isu itu, kita dapat fokus membantu rakyat, kita yakin kita akan terus mendapat sokongan daripada rakyat walau apa pun percaturan politik oleh parti pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette