RANTAU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memasuki hari ketiga kempen akhirnya diserikan dengan bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram.
Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati beberapa gegantung yang memaparkan wajah Dr Streram mula dipasang di sepanjang jalan ke Pekan Rantau.
Tertera dengan slogan, ‘Doktor Seri, Doktor Rakyat’ kesemua bahan kempen itu mula muncul pada hari ketiga kempen PRK Rantau.
Mulanya kempen PRK DUN Rantau ini hanya dikuasai oleh gegantung dan papan iklan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun menurut Mohamad, kewujudan pelbagai jenis gegantung, papan iklan dan poster yang dipamerkan adalah daripada simpanan pada Pilihan. Raya Umum ke 14 (PRU14) yang tidak sempat digunakan jentera beliau.
Ini kerana pada 24 April lalu, beliau diumumkan sebagai pemenang kerusi Rantau apabila tiada pencabar yang boleh bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.
DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi luar negara.
Seramai 11,283 pengundi atau 55.11 peratus daripadanya bangsa Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% India. -MalaysiaGazette