PRK RANTAU – ‘Kalau tidak betul baguslah,”
Demikian komen balas calon Barisan Nasional (BN) PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dilewat-lewatkan.
Tambahnya, beliau tidak menuduh tetapi ia adalah hakikat sebenar yang diperlihatkan oleh badan itu.
“Kalau tak ada alhamdulillah, tak ada masalah. Ini bukan tuduhan, ini kenyataan saja.
“Saya tak menuduh tapi kenyataan kerana saya jangka banyak orang yang nak supaya momentum feel good factor BN ini perlu dihentikan atau diredakan dulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen di Pasar Malam Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan petang tadi.
SPR hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mohamad bahawa SPR sengaja melewatkan hari penamaan calon di PRK Rantau.
Dalam satu kenyataan, pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tuduhan bahawa SPR cuba mengurangkan momentum kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih adalah tidak berasas.
“Sebagai sebuah Institusi Perlembagaan yang mana ahli-ahlinya telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanahnya dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad pada majlis mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, malam kelmarin mendakwa SPR terpaksa melambat-lambatkan tarikh PRK DUN Rantau.
Jelasnya, ia bagi mengurangkan momentum kemenangan BN di dua PRK sebelum ini iaitu Cameron Highlands dan Semenyih. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: