TOKYO – Pembekalan minyak OPEC jatuh ke paras terendah dalam tempoh empat tahun pada bulan Mac manakala pengeluaran minyak Venezuela berterusan susut disebabkan sekatan dan gangguan kuasa.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dianggotai oleh 14 negara mengepam 30.40 juta tong sehari pada bulan lepas, jatuh sebanyak 280,000 tong sehari dari bulan Februari .
Ia merupakan pengeluaran terendah OPEC sejak tahun 2015.
Kajian oleh Reuters mencadangkan bahawa Arab Saudi dan sekutu-sekutu Teluk mendesak untuk melaksanakan pengurangan bekalan lebih besar dalam perjanjian terbaharu OPEC bagi mengimbangi tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat yang mahu meningkatkan bekalan.
Pada hari Khamis lalu, Donald Trump sekali lagi meminta OPEC untuk mengeluarkan lebih banyak minyak untuk menurunkan harga.
Minyak mentah didagangkan melepasi AS$ 68 setong, hampir ke paras tertinggi 2019, didorong oleh langkah Arab Saudi dan sekatan bekalan di Venezuela dan Iran.
Kedua-dua negara itu di bawah sekatan Amerika Syarikat.
“Ada usaha untuk mengurangkan inventori minyak global lebih rendah.
“Kecuali terdapat lonjakan dalam pengeluaran OPEC atau rundingan perjanjian perdagangan Amerika Syarikat-China gagal sepenuhnya, pelabur-pelabur kewangan akan mencari tarikan minyak untuk melabur di dalamnya,” kata Tamas Varga dari broker minyak PVM, merujuk kepada strategi OPEC.
OPEC, Rusia dan bukan ahli yang lain telah bersetuju pada Disember lalu untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong dari 1 Januari tahun ini.
Pengurangan bekalan oleh OPEC sebanyak 800,000 tong sehari.
Angka itu tidak disertai oleh Iran, Libya dan Venezuela. – MalaysiaGazette