KUALA LUMPUR – Pembangkang mahu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Muhajid Yusof Rawa memberi penjelasan sama ada pembayaran jualan aset dan harta Tabung Haji akan diterima selepas tujuh tahun tempoh jualan.
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika benar, ia mencurigakan kerana ia satu di luar kelaziman proses jual beli aset yang sepatutnya menerima pembayaran secara langsung.
“Mujahid diselamatkan oleh loceng apabila waktu menjawab sudah tamat sebenarnya kita masih lagi tidak berpuas hati terutama penjualan aset serta pelaburan syarikat tujuan khas (SPV) tersebut walaupun aset sudah berpindah tangan tapi dari segi pembayaran Tabung Haji masih belum dapat.
“Difahamkan, selepas tujuh tahun jualan baru dapat biasanya jualan selepas itu terus dapat pembayaran. Itu yang kita perlukan penjelasan
“Mungkin kita akan bangkit dalam bajet tambahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau terdahulu diminta mengulas kenyataan Mujahid dalam Dewan Rakyat ketika membahaskan sul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
Kata Mujahid Prokhas Sdn Bhd berperanan menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset Lembaga Tabung Haji yang tidak menguntungkan.
Beliau menegaskan syarikat milik Menteri Kewangan (diperbadankan) itu tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn.Bhd (UJSB) yang mempunyai kuasa eksekutif.-MalaysiaGazette