Home Nasional Penghuni OKU Bengkel Seri Sembilan diancam ‘penceroboh’

Penghuni OKU Bengkel Seri Sembilan diancam ‘penceroboh’

Calon PH, Dr. S. Streram (kanan) melihat proses pembuatan sampul surat oleh salah seorang pelatih, Muhd Irfan (tengah) ketika sesi lawatan ke Bengkel Persatuan Pemulihan Orang Cacat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Mambau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Lebih 45 penghuni Bengkel Seri Sembilan yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) daripada segi fizikal dan pemikiran memerlukan perlindungan keselamatan yang segera daripada kerajaan.

Ini kerana, ketiadaan pagar keselamatan untuk bangunan di tanah seluas 5.26 hektar di Batu 8, Mambau itu tidak dilindungi dengan pagar dan terdedah kepada ancaman hidupan liar dan penceroboh.

Pengurus bengkel berkenaan, Harunarrsheed Mohd. Ibrahim berkata, persatuan itu merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang sentiasa menerima penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Bangunan ini serba kekurangan melibatkan segala aspek termasuk infrastruktur kemudahan serta keselamatan sejak tahun 1980 lagi.

“Cuma masalah serius yang memerlukan penyelesaian segera ialah melibatkan keselamatan penghuni bengkel ini yang terdiri daripada OKU dan dijaga 10 kakitangan.

“Saya setiap hari bimbang akan keselamatan seramai 45 penghuni OKU kami berusia antara 19 hingga 67 tahun yang mana sebahagiannya terdiri daripada wanita yang sentiasa terdedah dengan ancaman baik penceroboh dan haiwan liar seperti kera dan sebagainya.

MGF02042019_CALON PH LAWAT BENGKEL 02
Pengurus Bengkel Persatuan Pemulihan Orang Cacat, Harunarrsheed Mohd Ibrahim bercakap kepada media di Mambau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

“Ada sekali insiden salah seorang penghuni kita nyaris diseludup dengan niat jahat oleh orang luar namun berjaya diselamatkan,” katanya selepas menerima lawatan calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Rantau, Dr. S. Streram hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan merangkap ADUN Labu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Ismail Ahmad.

Menurut Harunarrsheed, sejak beliau mengambil alih pusat OKU itu sejak dua tahun lalu, masalah yang berlarutan sejak 20 tahun lalu di bawah kerajaan terdahulu gagal diberi perhatian sewajarnya.

Menurut beliau, pernah dengan bantuan JKM mengemukakan laporan JKR penilaian bangunan itu melibatkan anggaran kos RM1.7 juta untuk kerja kerja penambahbaikan.

Tambahnya lagi, sistem kumbahan, sistem pendawaian, sistem perparitan dan bangunan reka lama yang usang memerlukan penambahbaikan.

“Kos memasang pagar sahaja memerlukan wang RM100,000 namun tidak pernah menerima sebarang perkembangan positif dari kerajaan.

“Selain bangunan atas tanah seluas 4 ekar, keluasan selebihnya diusahakan pertanian oleh penghuni di sini terlibat secara kelompok seperti projek sampul surat besar-besaran, tanaman pokok pisang, ubi kayu, serai, cili padi, cendawan tiram dan bengkel jahitan tetapi dimusnahkan kera-kera liar.

“Yang paling merisaukan ialah keselamatan anak anak dara OKU yang masih muda lagi, saya tidak pesti kenapa masih tak diberi perhatian terhadap bengkel ini.

“Cuma, kami harap kerajaan negeri sekarang dapat mengubah nasib bengkel ini supaya sentiasa dikawal ketat dengan aspek keselamatan terbaik dan tidak ada gunanya jika ‘depan berhias cantik tetapi belakang badan bogel’,” katanya.

MGF02042019_CALON PH LAWAT BENGKEL 09
Calon PH, Dr. S. Streram (tengah) diiringi Pengurus Bengkel Persatuan Pemulihan Orang Cacat, Harunarrsheed Mohd Ibrahim (dua kiri) meninjau kawasan yang tidak berpagar ketika sesi lawatan ke Bengkel Persatuan Pemulihan Orang Cacat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Mambau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

Streram bercakap kepada pemberita kemudiannya memberitahu  segala isu berbangkit termasuk keselamatan penghuni khsusnya akan dibawa kepada perbincangan kerajaan negeri.

“Saya akan cuba memberitahu kepada exco yang bertanggungjawab untuk menyediakan bajet tahun depan untuk membantu bengkel ini.

“Bagi menangani ancaman keselamatan penghuni di sini usaha mendapatkan pemasangan pagar akan disegerakan dan selepas PRK masalah bengkel berkenaan akan diberi keutamaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette