Home Seni Hidup FFM30: Fazura nafi sengaja belakangkan Hans Isaac

FFM30: Fazura nafi sengaja belakangkan Hans Isaac

Fazura, Rossa
Fazura. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Penampilan pasangan pelakon, Fazura dan Fattah Amin di pentas Festival Filem Malaysia 30 (FFM 30) memang arahan penganjur.

Sehubungan itu, dakwaan mengatakan Fazura sendiri mahu suaminya bersama ketika mengumumkan Anugerah Khas Juri FFM 30 sehingga membelakangkan Datuk Hans Isaac dan Maya Karin adalah tidak benar.

Sebaliknya, segala keputusan dibuat oleh pihak produksi iaitu Astro yang menyatakan kemunculan Fattah bersama Fazura di atas pentas adalah sebuah elemen kejutan dalam majlis gilang gemilang tersebut.

“Jika mengikut perancangan yang telah diatur oleh pihak Astro, Fattah sepatutnya menjadi penyampai untuk anugerah lain tetapi ia ditukar pada saat akhir.

“Sebagai ‘tetamu’, Fazura dan Fattah hanya menjalankan tanggungjawab dan memberi kerjasama sebaiknya buat seluruh produksi demi kelancaran majlis,” kata satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Fazura terkilan dengan sikap Hans Isaac yang tanpa usul periksa telah menghantar kiriman WhatsApp menyatakan kekesalan terhadap tindakan kurang bijak dan tidak menghormati format majlis kepada Fazura kerana membawa Fattah.

Menurut Hans Isaac, Fattah tidak termasuk dalam senarai penyampai pada malam itu.

“Fazura meminta agar pihak Hans Isaac melakukan permohonan maaf kepadanya kerana apa yang dilemparkan oleh Hans sama sekali tidak berasas dan bukan di bawah kawalan Fazura,” kata kenyataan yang sama.

Sebagai seorang pelaku seni yang telah lebih 10 tahun berada dalam industri hiburan dan meneroka banyak pasaran di luar negara, Fazura begitu sedar tentang garis profesional dan
peribadi.

“Maka adalah tidak wajar untuknya mencampur adukkan urusan karier dan peribadi yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai anak seni berkaliber,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Fazura mahu semua pihak yang terlibat termasuk Astro, Hans Isaac atau Finas sendiri agar memberi kerjasama untuk memberi pencerahan kepada masyarakat tentang polemik yang melanda.

Penjelasan yang diberikan oleh semua pihak akan membuang salah sangka dan ketidakpercayaan pihak luar terhadap pasangan tersebut.- MalaysiaGazette