Home Ekonomi AirAsia paling banyak terima ATR – Mavcom

AirAsia paling banyak terima ATR – Mavcom

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan 53 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, AirAsia Group menerima kelulusan tertinggi sebanyak 26, diikuti Malindo Air sebanyak 15.

Jumlah kelulusan itu membabitkan 32.1 peratus bagi laluan domestik manakala bakinya, 67.9 peratus untuk laluan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, Mavcom meluluskan sebanyak 17 ATR bagi domestik, 13 destinasi ASEAN, 11 (China), 2 (India) dan masing-masing lima di Australasia dan Asia.

“Kita telah melakukan analisis menyeluruh, dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan untuk memudahkan pertumbuhan, persaingan dan pilihan pengguna yang teratur dalam jangka masa panjang serta pencegahan kesulitan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, sebanyak 26 ATR antarabangsa dikekuarkan bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 3 bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan masing-masing satu bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Senai dan lima lagi bagi lain-lain lapangan terbang di Malaysia.

Nungsari berkata, 20 ATR yang diluluskan sebelum ini oleh Mavcom tetapi tidak digunakan oleh penerima perlu memulangkan semula dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2019.

Katanya, AirAsia juga merupakan syarikat penerbangan yang paling tinggi tidak menggunakan ATR yang diluluskan oleh Mavcom iaitu 13, diikuti 5 oleh Malindo.

Pada tahun lalu, sejumlah 205 ATR dikeluarkan dengan 98 diterima oleh AirAsia dan 52 lagi Malindo. – MalaysiaGazette