![MGF030419_NAJIB MAHKAMAH02](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/04/MGF030419_NAJIB-MAHKAMAH02-1-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba di perkarangan kompleks Mahkamah kira-kira 1.51 tengah hari tadi tampak tenang dan tidak lekang dengan senyuman kepada penyokong serta pengamal media.
Beliau yang memakai kemeja putih dan kot biru lengkap kemudian berhenti bagi sesi berdoa bersama-sama kumpulan penyokongnya kira-kira 50 orang.
Sejurus selepas doa diaminkan, Najib yang juga ditemani oleh anak lelakinya, Mohd Norashman kelihatan ceria.
Rata-rata penyokong Najib juga melaungkan ‘Hidup Najib’ dengan begitu kuat sehingga beliau sampai ke pintu lif menghala ke aras 5 Mahkamah Tinggi Jenayah 3.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk bicara kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2019Malaysia Gazette yang turut bersama-bersama menyertai prosiding dalam bilik perbicaraan melihat Najib yang duduk tenang di kerusi tertuduh tepat jam 2 petang.
Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Peguam Negara, Tommy Thomas mengetuai pasukan 12 orang pendakwa raya iaitu Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril dan Muhammad Izzat Fauzan.
Najib pula diwakili oleh Yusof Zainal Abiden, bekas peguam cara negara, bersama-sama Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Elena Redza. – MalaysiaGazette