Home Politik Ada usaha sogok pengundi guna nama BN

Ada usaha sogok pengundi guna nama BN

Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

RANTAU – Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada pihak cuba mencemarkan nama baik Barisan Nasional (BN) dan namanya sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Jelas beliau, ada penduduk di Rantau membuat panggilan kepadanya bertanyakan imbuhan wang akan diberikan kepada mereka sekiranya mengundi BN pada PRK DUN Rantau.

“Saya menerima panggilan telefon dan diberitahu bahawa ada usaha yang dilakukan dengan menelefon pengundi tegar BN.

“Mereka telefon dan kata boleh ambik RM50. Mereka menelefon pengundi tersebut untuk keluar pada PRK Rantau dan akan diberi habuan duit.

“Saya telah minta mereka membuat laporan polis kerana ini merupakan satu cara untuk memburukkan BN,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN hari ini.

Katanya lagi, panggilan itu dibuat kepada penyokong BN agar mengundi parti itu pada 13 April depan.

Malah menurut beliau, BN tidak membuat sebarang panggilan bertujuan untuk memancing undi.

“Kita nak nafikan bahawa isu ini bukan mainan BN. Ada pihak yang nak mencemarkan nama BN.

“Semalam sahaja dekat 5 hingga 6 orang hubungi saya dan kata mereka dapat panggilan telefon,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menyiasat dakwaan bahawa PH memberinya jamuan kepada pengundi di Kuala Sawah, dua hari lepas.

Ujarnya, ada majlis yang dibuat oleh BN diarahkan berhenti kerana tidak mendapat kebenaran SPR.

“BN buat bacaan Yassin pun disuruh berhenti oleh SPR.

“SPR kena jalankan tugas secara saksama, tak berat sebelah. Ia berlaku di rumah Johor, Kuala Sawah,” katanya lagi.

Mohamad mengulas mengenai ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyajikan menu nasi lemak dan capati semasa Presiden PKR itu sedang berucap.

Justeru beliau berkata, SPR tidak seharusnya memilih bulu sekiranya terdapat dakwaan sogokan juadah.

“Terpulang kepada SPR untuk siasat, semasa kita kempen PRU14 perkara tersebut dilarang. Saya tak nak tuduh apa-apa,” jelas beliau. -MalaysiaGazette