Home Dunia Indonesia tutup Pulau Komodo tahun depan

Indonesia tutup Pulau Komodo tahun depan

Indonesia bakal menutup Pulau Komodo kepada pengunjung bermula Januari 2020

JAKARTA- Kerajaan Indonesia akan menutup Pulau Komodo kepada orang ramai bermula Januari tahun depan.

Menurut jurucakap pentadbiran Nusa Tenggara Timur (NTT), Marius Jelamu, penutupan pulau tersebut adalah disebabkan cubaan menyeludup 41 ekor Komodo yang didakwa akan dijual ke luar negara pada harga RP500 juta (AS$35,127.75) seekor.

Kes tersebut didedahkan oleh Polis Jawa Timur.

“Mesyuarat yang telah diadakan membuat keputusan Pulau Komodo akan ditutup pada Januari 2020,” katanya seperti yang dilaporkan tempo.co.

Menurut Marius, mesyuarat dengan Pengarah Besar Sumber Asli, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan memutuskan hanya Pulau Komodo sahaja yang akan ditutup kepada orang awam.

Kawasan konservasi yang lain masih boleh dilawati pengunjung, jelasnya.

Penutupan itu merupakan peluang terbaik kepada kerajaan untuk menambah baik usaha konservasi dan memastikan bekalan mencukupi untuk haiwan Komodo di samping memberi fokus kepada pembiakan haiwan tersebut supaya populasinya terus bertambah.

Kerajaan juga berhasrat untuk mengindahkan pulau tersebut dengan menanam lebih banyak pokok.- MalaysiaGazette