KUALA LUMPUR – Guru-guru sekolah yang menghentam kerajaan secara keterlaluan dinasihati agar meninggalkan profesion mereka sebagai pendidik, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, golongan guru yang menyokong pembangkang hingga berani naik ke pentas untuk berceramah lebih baik menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya, katanya seperti dilaporkan sebuah laman portal hari ini.
Menurutnya, tindakan berhenti daripada profesion perguruan adalah wajar kerana perbuatan menghentam kerajaan melanggar peraturan perkhidmatan awam.
“Biar pun Malaysia negara demokrasi dan menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik, guru tetap terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan awam.
“Jika mereka seorang guru, tetapi sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan dan wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah (bertanding) betul-betul.
“Bukan kita hendak tutup demokrasi itu, tetapi tidak patutlah sampai ke situ,” kata beliau pada sidang media selepas Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu hari ini.
Mahdzir juga berkata, walaupun isu guru menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan adalah kes terpencil, terdapat satu kes guru diambil tindakan kerana menghentam kerajaan secara keterlaluan di pentas politik pembangkang. – MalaysiaGazette