Home Nasional Pemilikan tanah: Bekas pegawai Felcra direman empat hari

Pemilikan tanah: Bekas pegawai Felcra direman empat hari

Felcra

IPOH – Seorang bekas pegawai Felcra Urus Estet Changkat Jong, dekat Teluk Intan, di sini, direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan pemilikan 13 lot tanah antara 2007 hingga 2018.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pegawai Undang-undang Mahkamah Sesyen Azuratul Akmar Abdul Ghafar bermula hari ini hingga Isnin depan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki itu ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Meru, di sini, pada pukul 11.17 malam tadi (Khamis).

Suspek dipercayai mendapatkan pemilikan tanah itu dengan cara menamakan kroni-kroninya kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah Hilir (JKPTD) Perak sebagai peserta di satu kawasan Rancangan Pertanian Berkelompok di bawah Projek Tanah Milik Felcra Berhad sebelum dipindah milik kepada diri sendiri dan saudaranya selepas lima tahun.

Berikutan pemilikan 13 lot tanah berkenaan, suspek dan saudaranya telah menerima bayaran dividen daripada pihak Felcra Berhad dengan jumlah terkumpul lebih RM1 juta bermula tahun 2008 hingga sekarang sebagai peserta Projek Tanah Milik Felcra di tanah berkenaan.

Suspek juga disyaki giat meminta wang rasuah berjumlah RM40,000 bagi setiap ekar tanah daripada beberapa penduduk setempat atau kenalannya di antara 2012 hingga sekarang.

“Ia sebagai balasan supaya suspek menggunakan kedudukannya di Felcra terbabit dalam memasukkan nama-nama mereka ke dalam JKPTD Hilir Perak untuk mendapatkan tanah tersebut termasuklah tanah berstatus rizab Melayu kepada bukan Melayu,” katanya.

Hasil penggeledahan di rumah tertuduh menemukan harta yang disyaki dimiliki hasil kegiatan rasuah iaitu dua buah kenderaan jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux, dua set perabot sofa mewah, 22 buah beg tangan mahal berjenama, sembilan geran lot tanah atas nama saudaranya dan saudaranya serta sebuah banglo anggaran bernilai lebih kurang RM600,000.

Jumlah keseluruhan aset yang dimiliki oleh suspek dianggarkan melebihi RM1 juta berbanding kemampuan emolumen yang diraih oleh suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009.

— BERNAMA